MCMC-SPRM perkukuh kerjasama penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan teknologi
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), hari ini.
Majlis pertukaran MoU yang berlangsung di ibu pejabat MCMC di sini melibatkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
Menurut MCMC, menerusi MoU berkenaan, kedua-dua agensi akan mengukuhkan pendekatan rentas agensi yang lebih terselaras melalui perkongsian kepakaran dalam aspek penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat serta pencegahan rasuah.
“Kerjasama itu turut merangkumi perkongsian amalan terbaik berkaitan tadbir urus, integriti dan pengurusan risiko bagi meningkatkan keupayaan kedua-dua agensi dalam menangani cabaran yang semakin kompleks dalam persekitaran digital.
“Selain itu, MCMC dan SPRM akan memperluas pembangunan pengetahuan serta kemahiran menerusi program advokasi, latihan, perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kedua-dua agensi turut akan memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik dan berkesan.
Jelasnya, inisiatif berkenaan juga boleh diperluaskan kepada pihak industri dan pemegang taruh berkaitan bagi meningkatkan kesedaran serta keupayaan menangani risiko rasuah dan salah laku.
Pada masa sama katanya, kerjasama itu dijangka meningkatkan kesiapsiagaan MCMC dan SPRM dalam menghadapi risiko rasuah serta salah laku yang semakin kompleks, selain menyokong usaha memperkukuh akauntabiliti dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan.
Selaras dengan peranannya sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan multimedia negara, MCMC akan terus menjadi pemudah cara dalam memperluas sinergi antara agensi ke arah pembentukan budaya kerja yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








