BERITA SEMASA

MWC 2025: Pavilion Malaysia pamer inovasi dan kerjasama global

BARCELONA – Kehadiran Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 pada 3 hingga 6 Mac, di sini membuktikan keseriusan negara dalam memacu kemajuan menerusi pelaksanaan 5G, infrastruktur digital, dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.

Pavilion tersebut menggabungkan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MDEC serta pemimpin industri termasuk DNB, CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, YTL, Edotco dan MEASAT, merupakan penzahiran komitmen negara dalam mendorong transformasi digital serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.

“Malaysia komited untuk membangunkan ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat serta rakan serantau kami.

Pavilion Malaysia di MWC 2025 adalah bukti kemajuan dan visi kita untuk masa depan yang lebih terhubung, inovatif, dan mampan,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa ketika merasmikan pembukaan pavilion tersebut, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Suruhanjaya MCMC, Tan Sri Dr. Chee Hong Leong; Penasihat Hal Ehwal Antarabangsa MCMC, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Datuk Dr Anderson Tiong serta Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.

Salah satu sorotan utama di pavilion ini ialah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA), yang telah melebihi jangkaan dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, mengatasi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.

Selain itu, turut diketengahkan 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN), inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN yang meningkatkan kesalinghubungan melalui perkongsian infrastruktur antara pengendali rangkaian mudah alih.

“Dengan menampilkan pencapaian kami di MWC 2025, Malaysia membuktikan bahawa kita bukan sahaja bergerak seiring dengan kemajuan global, malah turut menyumbang inovasi bernilai yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial,” kata Fauzi lagi.

Pengunjung ke Pavilion Malaysia akan didedahkan dengan pelbagai pameran seperti aplikasi kemajuan teknologi negara dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, penyiaran, pembuatan, bandar pintar, dan kecerdasan buatan (AI).

Buat julung kalinya, pengunjung boleh melihat sendiri alat analitik canggih, MCMC Nexus yanag digunakan bagi meningkatkan prestasi rangkaian dan menyokong perancangan bandar pintar yang lebih cekap di Malaysia.

Penyertaan Malaysia dalam MWC 2025 turut mengukuhkan kesiapsiagaan negara untuk bekerjasama dengan rakan global serta meneroka peluang pertumbuhan baharu.

Kehadiran pavilion sekaligus menjadi platform bagi pemimpin industri, pembuat dasar, dan inovator untuk berhubung, bertukar idea, dan meneroka kerjasama.

Pavilion Malaysia akan dipamerkan di Hall 7, Stand 7H51 di MWC 2025, yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac, menghimpunkan pemimpin teknologi dari seluruh dunia untuk meneroka masa depan kesalinghubungan digital dan berkongsi inovasi terkini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button