Kempen Internet Selamat Kota Kinabalu tampil kelainan, guna teknologi VR bagi tingkat kefahaman masyarakat
KOTA KINABALU – Lebih 500 pengunjung memeriahkan Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kota Kinabalu 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Gelanggang Futsal Kampung Darau Laut di sini hari ini.
Menurut MCMC, lebih mengujakan program tersebut menampilkan pengalaman pembelajaran keselamatan internet secara interaktif menerusi teknologi Realiti Maya (VR).
“Inisiatif perintis yang diperkenalkan oleh pihaknya itu menawarkan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan imersif bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai risiko serta cabaran dalam talian, sekali gus menggalakkan amalan penggunaan internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, yang turut menyantuni komuniti melalui lawatan ke reruai pameran serta pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang karnival.
Selain mengetengahkan inovasi digital, karnival itu turut mengangkat identiti dan warisan tempatan menerusi pertandingan nyanyian lagu Bajau Samah serta pertandingan e-sukan, membuktikan bahawa kemajuan teknologi mampu berkembang seiring dengan pemeliharaan budaya dan pengukuhan komuniti.
Bagi memperkukuh literasi digital katanya, karnival itu turut menampilkan sesi Podcast Live bertemakan “Internet Selamat Tanggungjawab Bersama” yang menghimpunkan panel daripada pelbagai latar belakang iaitu Roziah Abdul Rashid dari Jabatan Siasatan Jenayah Sabah; Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof Madya Dr Rozita@Uji Mohammed serta Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Gelvia Vanessa Jenny,
“Sesi tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan keselamatan siber, tanggungjawab pengguna serta kerjasama semua pihak dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.
“Penganjuran program ini adalah selaras dengan usaha berterusan Kerajaan memperkukuh keselamatan pengguna di alam siber, termasuk melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 lalu,” katanya.
Sementara itu katanya, Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat itu mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkasa masyarakat dengan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran digital yang diperlukan untuk mendepani cabaran dunia siber.
Jelasnya, melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti, ibu bapa dan masyarakat, usaha membina ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan dapat terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








