BERITA SEMASA

Tiada tolak ansur kepada penyebar kandungan melampau – MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tiada sebarang kompromi dan tolak ansur diberikan kepada penyebar kandungan provokatif yang melampau di media sosial.

Unit Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan berkata, susulan daripada kes stoking tertera kalimah Allah, MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengesan dan menjejaki pemilik-pemilik akaun yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Berdasarkan statistik MCMC, terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).

“Sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023, manakala bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja, 27,115 kandungan diturunkan. Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, MCMC turut menegaskan semua pihak agar menghentikan sebarang hantaran yang bersifat provokatif dan 3R (race, royalty, religion) di media sosial kerana ia mengundang ancaman yang signifikan kepada keadaan sosial dan institusi negara.

Mereka yang terlibat dalam aktiviti sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang mana pesalah boleh didenda sebanyak maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa ini, sejumlah 2,004 kandungan yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi termasuk ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R telah diturunkan sejak awal tahun lepas hingga kini, yang mana 479 daripadanya diturunkan sejak 13 Mac 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button