BERITA SEMASA

Sultan Pahang gesa kerajaan nilai semula operasi UNHCR

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula kewajaran meneruskan operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia demi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, demi memperkukuh kawalan sempadan dan isu lambakan warga asing, perhatian serius perlu diberikan kerana isu itu boleh menimbulkan cabaran keselamatan, kesejahteraan sosial, kebersihan persekitaran dan ketenteraman awam.

Baginda berpandangan, sudah tiba masanya kerajaan membuat penilaian menyeluruh terhadap operasi UNHCR, termasuk mempertimbangkan kemungkinan menutup operasi sekiranya fungsi serta keberkesanannya tidak lagi memenuhi keperluan dan kepentingan negara.

“Kehadiran sesebuah organisasi antarabangsa seharusnya membantu meringankan beban negara, bukannya mewujudkan keadaan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan rakyat tempatan.

“Jangan sampai atas nama kemanusiaan, kedaulatan negara dipandang ringan; dan jangan pula atas nama perlindungan, undang-undang negara seolah-olah kehilangan keutamaannya.

“Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan tetapi tidak sesekali boleh menggadaikan kedaulatan dan keselamatannya atas nama kemanusiaan,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Dalam titah sama, Baginda menegaskan setiap individu yang berada di negara ini wajib menghormati undang-undang dan peraturan berkuat kuasa tanpa mengira asal usul atau latar belakang.

Sehubungan itu, Sultan Abdullah mahu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang.

Baginda turut menegaskan tanggungjawab utama kerajaan adalah mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung keluhuran undang-undang serta menjamin kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button