AGAMABERITA SEMASA

40 ulama musnidin antarabangsa sertai Majlis Sama’ Hadis

PUTRAJAYA – Seramai 40 ulama musnidin dari dalam dan luar negara dijadual menyertai Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Masjid Putra, di sini, pada 13 hingga 23 November ini.

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata majlis berkenaan turut menampilkan Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad, yang dijadual menyampaikan syarahan perdana ketika majlis khatam.

“Penganjuran program ini yang memasuki siri ketiga kali diharapkan mampu menarik sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 peserta setiap hari,” katanya.

Menurutnya, pengajian tahun ini memberi tumpuan kepada kitab Jami’ al-Tirmizi yang menghimpunkan hadis serta perbincangan mengenai kedudukan riwayat dan pandangan ulama serta fuqaha, selain al-Syamail al-Muhammadiyyah yang menghimpunkan riwayat mengenai sifat fizikal, akhlak, peribadi dan kehidupan Rasulullah SAW.

“Pengajian berkenaan menggunakan kaedah Sama’ Hadis, iaitu pendengaran dan penerimaan riwayat hadis daripada guru berautoriti dengan penekanan terhadap sumber, kaedah periwayatan serta pemeliharaan sanad,” katanya lagi.

Majlis berkenaan merupakan antara acara utama Program Dakwah Negara (PDN) 2026 yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

PDN 2026 juga digerakkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan sasaran melaksanakan 500 program di seluruh negara dan menarik sekurang-kurangnya 10,000 peserta menerusi aktiviti fizikal serta digital.

Zulkifli turut menyeru pelajar institusi pengajian Islam, guru agama, penggerak dakwah, ahli akademik dan pencinta ilmu supaya mengambil peluang mengikuti majlis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button