RENCANA

IRC 2026: Ekosistem digital autonomi kunci transformasi industri, kesihatan masa depan

TRANSFORMASI digital tidak lagi boleh dilihat sebagai usaha memperkenalkan teknologi baharu semata-mata.

Sebaliknya, kejayaannya bergantung kepada keupayaan sesebuah negara membina ekosistem yang menghubungkan teknologi, dasar, institusi dan rakyat dalam satu rangka kerja yang saling melengkapi.

Itulah antara mesej utama yang diketengahkan dalam dialog bertajuk ‘Innovation Driven Autonomous Ecosystems & Industry Transformation’ sempena Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 21 dan 22 Julai lalu yang menghimpunkan pakar industri, pembuat dasar dan pemain teknologi dari pelbagai negara bagi membincangkan hala tuju transformasi digital global.

irc
Poster menunjukkan ahli panel yang terlibat dalam dialog tersebut.

Perbincangan itu menekankan bahawa inovasi hanya mampu memberikan impak sebenar apabila ia diterjemahkan ke dalam penyelesaian dunia sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Platform inovasi juga tidak seharusnya terhad kepada syarikat teknologi, malah perlu melibatkan institusi pendidikan, penyelidik, pelajar universiti, agensi kerajaan dan komuniti inovator dalam membentuk ekosistem yang kondusif.

Pendekatan sedemikian diyakini mampu mempercepat pembangunan teknologi, menggalakkan percambahan idea baharu serta membolehkan penyelesaian diuji sebelum diperluaskan kepada masyarakat.

Pendigitalan kesihatan perlu bermula dengan asas kukuh

Sektor kesihatan menjadi antara fokus utama dialog apabila panel membincangkan bagaimana teknologi digital mampu mengubah sistem penjagaan kesihatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Pengarah, Divisyen Kesihatan Digital, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Vivek Jason Jayaraj berkata, Malaysia sebenarnya sudah lama memulakan perjalanan pendigitalan negara.

“Kita mula mengguna pakai penyelesaian digital sejak kira-kira 40 tahun lalu. Kami mempunyai projek yang bermatlamat besar pada tahun 1997 untuk mendigitalkan semua hospital yang ada.

“Namun selepas lebih 25 tahun, masih terdapat banyak ruang yang perlu diperkasakan.

“Justeru, keutamaan negara ketika ini ialah membangunkan asas digital yang kukuh sebelum memperkenalkan teknologi lebih kompleks seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Menurut Dr Vivek, antara komponen utama ialah pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (Electronic Medical Records – EMR) secara menyeluruh, pendigitalan makmal dan radiologi serta memastikan pesakit menjadi pusat kepada keseluruhan ekosistem kesihatan digital.

irc 2026
Dr Vivek (dua dari kiri) merupakan salah seorang speaker pada sesi dialog sempena Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

Melalui pendekatan itu, setiap rekod kesihatan pesakit akan dapat diakses secara bersepadu tanpa mengira lokasi rawatan.

Malah, perubahan tersebut dijangka mengurangkan pertindihan maklumat, mempercepat proses rawatan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, hampir 500 klinik telah berjaya didigitalkan manakala aplikasi MySejahtera kini mula menawarkan akses kepada sebahagian rekod kesihatan pengguna termasuk rekod farmasi dan lawatan ke klinik,” jelasnya.

AI hanya berkesan jika asas digital tersedia

Walaupun AI sering menjadi tumpuan dalam transformasi digital, panel turut mengingatkan bahawa teknologi itu hanya mampu berfungsi secara optimum sekiranya disokong oleh data yang berkualiti dan sistem digital yang lengkap.

Tanpa rekod kesihatan elektronik yang menyeluruh serta platform perkongsian data yang bersepadu, AI tidak dapat memberikan analisis atau cadangan yang tepat kepada pengamal perubatan.

Dalam erti kata lain, AI bukan titik permulaan transformasi, sebaliknya nilai tambah kepada ekosistem digital yang telah matang.

Arab Saudi kongsi pengalaman

Ketua Pembangunan Perniagaan Strategik Antarabangsa Cloud Solutions (Habib Medical Group) yang berpangkalan di Arab Saudi, Joseph Walker-Cousins berkongsi, negara itu telah menyediakan akses digital kepada hampir keseluruhan penduduk melalui aplikasi kesihatan nasional.

irc 2026
Ketua Pembangunan Perniagaan Strategik Antarabangsa Cloud Solutions (Habib Medical Group), Joseph Walker-Cousins. – Foto Muhammad Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

“Menerusi platform tersebut, rakyat boleh mendapatkan rekod kesihatan, menjalani konsultasi teleperubatan, memantau indikator kesihatan serta menghubungkan data daripada pelbagai peranti kesihatan di rumah,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui setiap negara tetap berhadapan kekangan kewangan dan perlu menentukan keutamaan pelaburan digital.

“Tumpuan masa depan bukan sekadar mendigitalkan hospital, tetapi memperkukuh penjagaan kesihatan di rumah supaya pesakit lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri melalui pemantauan berterusan dan perubahan gaya hidup.

“Pendekatan ini diyakini mampu mengurangkan beban hospital serta meningkatkan tahap kesihatan masyarakat secara keseluruhan,” katanya lagi.

Kerjasama rentas agensi faktor kejayaan

Sementara itu, Pakar Kanan Penyelesaian Industri, Huawei Malaysia, Nicholas Yang berpandangan kegagalan banyak projek transformasi digital bukan berpunca daripada kelemahan teknologi, tetapi disebabkan kurangnya penyelarasan antara kementerian dan agensi.

Menurut beliau, setiap organisasi lazimnya mempunyai sasaran dan projek masing-masing, namun tanpa kerjasama yang tersusun, banyak inisiatif akhirnya terhenti di peringkat projek perintis.

MCMC
Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau menyifatkan kerjasama antara KKM dan MCMC sebagai contoh sinergi yang perlu diperluaskan kerana pembangunan ekosistem digital memerlukan penglibatan pelbagai sektor termasuk komunikasi, kesihatan, ekonomi dan digital.

Beliau mengumpamakan transformasi digital seperti membina sebuah bangunan.

“Asas dan struktur bangunan perlu kukuh terlebih dahulu. Ruang dalaman boleh berubah mengikut keperluan, tetapi pelan asasnya mesti kekal stabil.

“Begitu juga pembangunan digital. Infrastruktur, piawaian data dan tadbir urus perlu dibina dengan kukuh sebelum pelbagai aplikasi dibangunkan di atasnya,” katanya.

Transformasi digital ialah transformasi ekonomi

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar menyimpulkan bahawa transformasi digital tidak seharusnya dilihat sebagai perubahan teknologi semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan perubahan terhadap keseluruhan sistem ekonomi, penyampaian perkhidmatan awam dan cara masyarakat berinteraksi dengan teknologi.

Menurut beliau, pembangunan rangkaian komunikasi, pusat data, AI, Internet Kebendaan (IoT) dan pelbagai teknologi baharu hanyalah sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar.

Apa yang lebih penting ialah memastikan semua teknologi itu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat, industri dan negara.

irc
Para tetamu kehormat bergambar bersama peserta pada hari pertama persidangan tersebut.

Seiring perkembangan AI, pengkomputeran awan dan automasi pintar, kejayaan sesebuah negara bukan lagi diukur berdasarkan jumlah teknologi yang dimiliki, tetapi sejauh mana teknologi tersebut disepadukan melalui dasar yang jelas, tadbir urus yang berkesan dan kerjasama pelbagai pihak.

Mesej yang muncul daripada IRC 2026 jelas menunjukkan bahawa masa depan transformasi digital tidak bergantung kepada satu teknologi atau satu organisasi semata-mata.

Sebaliknya, ia memerlukan pembinaan ekosistem autonomi yang menyatukan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat dalam satu rangka kerja yang mampu memacu inovasi secara mampan, selamat dan inklusif.

IRC 2026 dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, manakala acara penutup disempurnakan oleh timbalannya, Teo Nie Ching.

Penganjuran IRC 2026 buat kali ketiga itu dihadiri lebih 3,000 peserta dan 39 panelis serta speaker dari dalam dan luar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button