BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

9,666 Kempen Internet Selamat perkasa kesedaran digital komuniti

JOHOR BAHRU – Sebanyak 9,666 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lalu sebagai usaha berterusan kerajaan meningkatkan kesedaran penggunaan digital secara selamat dan berhemah, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Perkara itu dimaklumkan sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Desa Belantik di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan program berkenaan disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang turut menyertai sesi Kempen Internet Selamat sebagai pengisian utama acara.

“Pelaksanaan ribuan program itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan pengguna digital di peringkat komuniti setempat.

“HBK turut menampilkan pelbagai pengisian Perkhidmatan Pintar NADI termasuk e-Sukan, Tuisyen DiLea, NADI Mahir Baiki Gajet, saringan kesihatan serta pameran dan jualan oleh usahawan NADI,” katanya.

Selain itu, MCMC memaklumkan pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan daripada beberapa agensi berkaitan seperti Kaunter eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta Kempen Elektrik Selamat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sehingga Disember 2025, Perkhidmatan Pintar NADI merekodkan sebanyak 1.4 juta penyertaan di seluruh negara, sekali gus mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi.

Dalam pada itu, penganjuran HBK itu turut mencerminkan peranan NADI sebagai pusat sehenti komuniti dalam menyediakan akses Internet secara kolektif.

“Malah NADI juga berfungsi sebagai platform memperkasakan masyarakat melalui pembangunan kemahiran digital, keusahawanan serta penyebaran inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button