BERITA SEMASA

Kementerian Pengangkutan diberi tempoh sebulan sedia laporan siasatan nahas trak FRU

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan diberi tempoh sebulan bagi mengemukakan laporan siasatan nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata,
dalam mesyuarat hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti aspek yang tidak melibatkan unsur jenayah dalam nahas itu.

“Jemaah Menteri bersetuju bahawa laporan lengkap daripada Kementerian Pengangkutan perlu disediakan dalam tempoh satu bulan dan dibentangkan semula kepada Kabinet sebelum sebarang keputusan lanjut diambil,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan
berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi semalam, sebuah trak FRU dinaiki 18 anggota pasukan Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh terlibat kemalangan dengan lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami.

Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan mahu dua set siasatan disediakan masing-masing daripada jawatankuasa khas Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas Fahmi, langkah itu diambil bagi menjamin ketelusan dan ketelitian, selain mengelakkan berlakunya pertindihan antara siasatan oleh pihak berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button