PRN Melaka : Hakimin akui Ridhwan lebih dikenali, tetap optimis tawan Ayer Molek
AYER MOLEK – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Muhammad Hakimin Mokhtar mengakui lawannya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ridhwan Mohd Ali mempunyai kelebihan kerana lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau tidak menjadikan faktor itu sebagai penghalang untuk terus memperhebat usaha mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menurutnya, pendekatan bertemu penduduk secara bersemuka akan terus menjadi keutamaannya bagi memperkenalkan diri serta mendapatkan kepercayaan masyarakat di kawasan berkenaan.
“Pendekatan yang saya gunakan di Ayer Molek ini lebih kepada berjumpa seramai mungkin penduduk, bersalaman dan memperkenalkan diri saya kepada masyarakat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Kopilih Harapan di sini malam ini.
Mengulas mengenai persaingan dengan Ridhwan, Muhammad Hakimin berkata, beliau menyedari lawannya mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan sudah dikenali masyarakat setempat termasuk melalui hubungan kekeluargaan.
Bagaimanapun, beliau akan terus memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan kehadirannya dapat diterima pengundi.
Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian kepada usaha mendekati golongan muda khususnya generasi Z menerusi pertemuan dan penganjuran beberapa program bersama kumpulan berkenaan.
Untuk rekod, PRN Melaka ke-16 menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Muhammad Hakimin yang mewakili PH dan Ridhwan daripada BN bagi merebut kerusi DUN Ayer Molek.
BN mempertaruhkan Ridhwan bagi mempertahankan kerusi yang menjadi kubu tradisi parti itu, manakala PH berusaha menawan kerusi berkenaan yang belum pernah dimenangi parti itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














