POLITIK

PH tawar penyelesaian kesesakan, mudahkan urusan kerajaan

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengetengahkan tiga tawaran utama dalam manifesto Aspirasi Melaka Rumah Kita bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan, mempercepat urusan kerajaan serta memperluas peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tawaran berkenaan memberi tumpuan kepada keperluan harian rakyat termasuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, memudahkan urusan perkhidmatan awam dan merancakkan ekonomi tempatan.

Menurutnya, penambahbaikan infrastruktur, pengangkutan dan kemudahan awam perlu diberi perhatian bagi memastikan perjalanan penduduk ke tempat kerja serta sekolah lebih lancar dan selamat.

“Di kawasan tumpuan trafik, PH mahu menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengurus aliran kenderaan.

“Keberkesanannya perlu dinilai melalui perubahan masa perjalanan, terutama ketika waktu puncak,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata, PH turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif Smart Melaka menerusi pendigitalan perkhidmatan kerajaan bagi memendekkan prosedur dan mempercepat urusan rakyat.

“Permohonan bantuan atau lesen perniagaan perlu dapat dilakukan dengan lebih mudah, selain membolehkan pemohon menyemak status permohonan dan menerima maklum balas dalam tempoh lebih singkat,” katanya.

Dalam sektor pelancongan pula, Adly berkata, PH menyasarkan peningkatan kedatangan pelancong ke Melaka kepada 25 juta menjelang 2032 berbanding 15.9 juta yang direkodkan pada 2025.

Menurutnya, pertumbuhan sektor berkenaan perlu memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha inap desa, peniaga makanan dan penyedia perkhidmatan tempatan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Beliau berkata, kesemua 24 calon PH yang memasuki hari keenam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Khamis meneruskan pendekatan sederhana menerusi kunjungan dari rumah ke rumah dan pertemuan bersama penduduk.

Adly turut memaklumkan kehadiran Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melaka bagi menyantuni pengundi dan jentera parti di empat kawasan iaitu Klebang, Ayer Keroh, Paya Rumput dan Machap Jaya.

“Maklum balas penduduk sepanjang kempen akan dijadikan panduan dalam menentukan keutamaan pembangunan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button