POLITIK

PH tekad bina masa depan generasi Negeri Sembilan

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mahu memastikan pembangunan pendidikan, belia, wanita dan institusi keluarga terus menjadi agenda utama dalam usaha membina masa depan Negeri Sembilan.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata, komitmen tersebut merupakan antara fokus utama manifesto gabungan itu selain tawaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, membina 20,000 rumah mampu milik dan memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat.

Menurutnya, kekuatan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui jumlah pelaburan atau pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kualiti modal insan yang dibangunkan.

“Manifesto ini memberi penekanan kepada usaha menambah baik beasiswa anak negeri, bantuan persekolahan serta memperluaskan akses pendidikan berkualiti supaya tiada anak Negeri Sembilan yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

“Pada masa sama, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), literasi digital serta kecerdasan buatan (AI) akan diperkasakan bagi memastikan anak muda memiliki kemahiran yang diperlukan industri pada masa depan,” katanya ketika sidang media PH di Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan di sini hari ini

Arul berkata, bagi golongan belia, PH akan melaksanakan program kepimpinan belia Upaya@N9, memperluaskan peluang keusahawanan serta menggalakkan penglibatan anak muda dalam pembangunan komuniti dan proses membuat keputusan.

“Kita mahu belia bukan sekadar menjadi penonton, tetapi pemimpin yang membina masa depan Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Beliau berkata, manifesto PH turut mengiktiraf peranan penting wanita dalam pembangunan negeri menerusi pelaksanaan program WADAH yang memberi fokus kepada latihan kemahiran, pembangunan kerjaya dan keusahawanan.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi di samping memperkukuh kesejahteraan keluarga.

“PH komited memperkukuhkan institusi keluarga kerana keluarga yang kukuh menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, harmoni dan berdaya tahan.

“Semua komitmen ini mempunyai matlamat yang jelas. Kita mahu setiap anak Negeri Sembilan mempunyai peluang yang adil untuk berjaya, setiap belia mempunyai masa depan yang cerah, setiap wanita diberi ruang untuk terus maju dan setiap keluarga menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Pendekatan PH bukan sekadar membina jalan raya dan bangunan, tetapi membina manusia, keluarga serta masa depan negeri,” katanya lagi.

Beliau berkata, PH yakin segala komitmen yang digariskan mampu direalisasikan menerusi sebuah kerajaan yang stabil, bersih dan berpengalaman.

“Matlamat akhirnya adalah untuk menjadikan Negeri Sembilan Maju 2045 satu kenyataan dan bukan sekadar cita-cita,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button