BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas kerusi baharu

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini, selain mengintai peluang merampas beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persiapan calon PH berjalan seperti dirancang menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, dengan parti itu yakin mampu memberikan saingan kepada semua pihak yang bertanding.

“Baseline kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa yang sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa, di sini, hari ini.

Menurutnya, peluang untuk memenangi kerusi tambahan bergantung kepada usaha, strategi dan gerak kerja yang dilaksanakan parti bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“PH juga mengambil kira keadaan semasa dalam menetapkan sasaran, namun melihat terdapat beberapa kerusi yang berpotensi dimenangi berdasarkan perkembangan dan strategi kempen,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, pihaknya akan meninjau kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu kelancaran urusan sepanjang PRN Melaka.

Katanya, MCMC bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan semua pusat mengundi mempunyai akses internet yang baik, selain merancang penubuhan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operation Centre) untuk memantau sebarang gangguan sambungan internet.

Sementara itu, sebuah pusat media utama kendalian Jabatan Penerangan akan beroperasi di Hotel Muzaffar, MITC, Ayer Keroh, dari 30 Oktober hingga 14 November, bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam.

Fahmi berkata, beberapa pusat tambahan turut dirancang bagi menyediakan ruang kepada pengamal media untuk bekerja dan berehat ketika membuat liputan, termasuk mereka yang ditugaskan di kawasan jauh dari bandar Melaka.

Beliau turut mengalu-alukan maklum balas pengamal media mengenai kemudahan yang diperlukan bagi memastikan persiapan liputan PRN Melaka dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button