Kawalan pintu sempadan negara diperkukuh, Kabinet lulus pelan komprehensif
PUTRAJAYA – Kawalan keselamatan di pintu sempadan negara bakal diperkukuh apabila Jemaah Menteri meluluskan pelan komprehensif bagi memperkemas aspek berkenaan, hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelan yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu membabitkan beberapa aspek.
“Ya, ada beberapa perkara dibentangkan oleh kedua-dua KDN dan juga MOT, memandangkan ada beberapa perkara membabitkan aspek keselamatan, maka saya minta untuk rujuk kepada KDN untuk maklumat khusus.
“Tetapi pelan terbabit sudah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera bermula hari ini juga,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan pintu masuk negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata, pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berikutan terdapat beberapa elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
“Pelan berkenaan disediakan dalam tempoh dua minggu susulan arahan Kabinet supaya kawalan keselamatan di pintu masuk negara diperkukuh menerusi penyelarasan membabitkan pelbagai agensi berkaitan,” katanya.
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama kira-kira 25 kilogram dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, baru-baru ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








