BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC buka 42 kertas siasatan berita palsu berkait krisis tenaga global

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 42 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global yang tular di media sosial dan platform digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil setakat ini untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

“Daripada 42 kertas siasatan yang dibuka, 31 kandungan melibatkan berita palsu berhubung kos bahan api.

“Pada masa yang sama, MCMC setakat ini telah membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu dari pelbagai platform media sosial.

“154 daripada jumlah itu telah pun diturunkan oleh penyedia platform, manakala selebihnya masih di dalam siasatan platform-platform berkenaan,” katanya pada Sidang Media Mingguan dan Taklimat Krisis Tenaga Global, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

“Dalam keadaan dunia yang berdepan cabaran semasa, terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat yang tidak sahih semata-mata untuk meraih perhatian dan pengaruh.

“Jangan berkongsi sebarang maklumat selagi belum dipastikan kesahihannya dan kebenarannya.

“Sebaliknya, rujuklah sumber rasmi dan pihak berwajib untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button