Iran, Oman hampir capai persetujuan aturan pergerakan kapal di Selat Hormuz
TEHRAN – Iran dan Oman hampir memuktamadkan aturan bersama berkaitan pergerakan kapal di Selat Hormuz selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan mengenai koordinat geografi kawasan strategik berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, kenyataan bersama yang merangkumi pertimbangan utama serta perkara yang dipersetujui kini berada pada peringkat akhir semakan sebelum dimuktamadkan.
Menurut beliau, proses tersebut dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat selagi tidak wujud campur tangan atau halangan daripada pihak ketiga.
“Bagaimanapun, persefahaman yang dicapai bersama Oman tidak semestinya menjamin keselamatan semua kapal yang melalui laluan berkenaan.
“Keadaan tidak selamat di Selat Hormuz berpunca daripada tindakan Amerika Syarikat (AS), khususnya sekatan laut serta langkah yang dianggap mengancam Iran dan kepentingannya,” memetik Berita RTM online.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan perairan antarabangsa dan menjadi nadi utama perdagangan minyak global.
Sebelum itu, Iran mengarahkan kapal-kapal menggunakan laluan yang lebih hampir dengan pantainya. Namun, banyak kapal masih memilih laluan selatan berhampiran Oman dan beberapa daripadanya dilaporkan menjadi sasaran serangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tehran turut dilaporkan berhasrat mengawal selia pergerakan di selat tersebut serta mengenakan bayaran tol kepada kapal yang melaluinya, langkah yang dijangka menerima tentangan daripada Washington.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








