BERITA SEMASA

Data Waze diproses di Israel antara isu keselamatan dibangkitkan

PUTRAJAYA – Pengumpulan dan pemprosesan data aplikasi navigasi Waze di Israel antara isu keselamatan siber yang dibangkitkan kerajaan sehingga membawa kepada keputusan melarang penggunaannya, terutama dalam kalangan penjawat awam.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu berdasarkan maklum balas Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang disampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibawa ke Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).

Menurutnya, kerajaan turut membangkitkan persoalan mengenai bidang kuasa perundangan sekiranya berlaku pertikaian berkaitan aplikasi berkenaan.

“Perkara yang dimaklumkan turut membabitkan pengumpulan data, pemprosesan data yang berkait aplikasi terbabit yang dibawa ke Israel. Itu isu besar yang dibangkitkan.

“Kedua, sebarang pertikaian perundangan hanya akan diuruskan melalui mahkamah di Israel,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, perkara itu menimbulkan persoalan dari sudut bidang kuasa perundangan memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

“Kerajaan turut memandang serius dakwaan ketirisan data yang dikaitkan dengan Waze, termasuk laporan bahawa data diperoleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum dijual menerusi laman gelap.

Sehubungan itu, Fahmi meminta pihak Waze memberikan penjelasan mengenai dakwaan berkenaan, termasuk bagaimana data peribadi boleh diperoleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini beliau tidak dapat mengesahkan sama ada data rakyat Malaysia turut terbabit dalam dakwaan ketirisan berkenaan.

“Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) juga mungkin dirujuk bagi mengenal pasti aspek siasatan yang perlu dilaksanakan, tertakluk kepada proses perundangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button