Shila Amzah dedah rahsia beri persembahan terbaik, bakat sahaja tidak mencukupi
KUALA LUMPUR – Kesungguhan memperbaiki diri dan keberanian mencabar kemampuan sendiri merupakan antara perkara penting yang boleh membantu seseorang menyerlah dalam pertandingan, selain bergantung kepada bakat semata-mata.
Penyanyi, Shila Amzah berkata, pengalaman menyertai pertandingan memberi ruang kepada seseorang untuk meneroka kebolehan yang mungkin tidak pernah disedari sebelum ini, terutama apabila perlu menghasilkan persembahan berkualiti dalam keadaan tertekan.
Menerusi perkongsian di Threads, Shila menjelaskan bahawa desakan untuk memberikan hasil terbaik mampu mendorong peserta melakukan sesuatu di luar jangkaan kemampuan mereka.
“Perkara yang pada awalnya kita sukar atau mustahil dilakukan boleh menjadi kenyataan jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat.
“Yang best bila masuk pertandingan ini, kita akan terokai banyak benda baru mengenai diri kita.
“Apa yang sebelum ini kita sangka tak boleh buat, tiba-tiba kita boleh sebab kita kerja di bawah tekanan dan kita memang nak hasilkan persembahan yang terbaik,” tulisnya.
Dalam pada itu, Shila mengingatkan peserta supaya tidak memandang ringan persediaan fizikal dan mental sebelum menghadapi pertandingan, memandangkan proses menguasai bahan persembahan dalam tempoh singkat memerlukan tumpuan serta stamina yang baik.
Menurutnya, peserta perlu menjaga kecergasan dan mengamalkan gaya hidup aktif bagi membantu mereka menghadapi cabaran, termasuk menghafal lirik, menyesuaikan diri dengan susunan lagu baharu serta mengingati koreografi.
“Siapa yang masuk pertandingan ini pastikan anda secara mental dan fizikal telah fit. Jangan skip bersenam dan bagi otak kita lebih cerdas.
“Nanti nak ingat lirik, susunan lagu baru dan koreografi dalam masa cuma beberapa hari bukannya mudah,” tambahnya.
Shila turut menekankan kepentingan menimba ilmu secara berterusan tanpa menjadikan faktor usia sebagai penghalang untuk meningkatkan kemampuan diri.
Ujarnya, kemudahan internet pada masa kini membolehkan peserta mendapatkan pelbagai bahan rujukan dan inspirasi bagi memperbaiki mutu persembahan masing-masing.
“Tak kira di umur mana pun kita, ilmu di zaman sekarang ini cuma di hujung jari. Banyak rujukan dan inspirasi yang kita boleh dapat,” katanya.
Mengulas mengenai faktor yang membezakan seseorang peserta daripada pesaing lain, Shila berpandangan bahawa kreativiti dan usaha memberikan sentuhan tersendiri kepada persembahan memainkan peranan sama penting dengan bakat semula jadi.
Menurutnya, keupayaan mengolah lagu agar kedengaran lebih menarik serta kebebasan bergerak dan menyesuaikan diri di atas pentas mampu memberikan nilai tambah kepada seseorang penghibur.
“Yang membezakan kita dengan peserta lain bukan sekadar bakat tetapi usaha kita untuk mencantikkan lagu, kreativiti kita dan betapa fluidnya kita di atas pentas,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






