BERITA SEMASAHIBURAN

Amy Search nafi dakwaan Shila Amzah, buat laporan polis

SHAH ALAM – Penyanyi rock terkenal, Datuk Amy Search, membuat laporan polis terhadap penyanyi Shila Amzah berhubung dakwaan insiden yang tercetus antara mereka dan tular baru-baru ini.

Peguam Amy, Datuk M Reza Hassan berkata, anak guamnya telah memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, malam tadi.

“Amy telah memfailkan laporan terhadap Shila Amzah dan memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat,” memetik laporan HM online.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

“Ya, memang ada laporan dibuat. Namun, ia lebih kepada laporan penafian dan ‘covering report’. Kes berkenaan dirujuk ke IPD Dang Wangi,” katanya lagi.

Pada 10 Julai lalu, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang oleh penyanyi legenda itu semasa sesi latihan bagi sebuah konsert.

Susulan laporan itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sebelum ini berkata, insiden didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati akibat campur tangan dalam masalah keluarga.

Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button