Kerjasama dengan DAP bukan soal kaum, pilih rakan berdasarkan prinsip antirasuah – Anwar
MELAKA – Kerjasama politik dengan DAP tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum, sebaliknya perlu berpaksikan kesamaan prinsip, khususnya dalam menolak amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak melihat hubungan kerjasama dengan DAP sebagai sesuatu yang bercanggah dengan kepentingan orang Melayu kerana perkara lebih utama adalah memastikan rakan dalam kerajaan mempunyai prinsip yang sama.
Menurutnya, pemilihan rakan politik tidak sepatutnya berasaskan kaum, sebaliknya perlu melihat kepada integriti dan pendirian mereka dalam mentadbir negara.
“Kalau orang tanya saya, apa pasal kau kawan dengan DAP? Mereka. Saya kata parti lain pun ada orang Cina juga.
“Kita perlu cari kawan yang satu otak dan sama prinsip. Jangan kita cari kawan yang pandai curi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Harapan di Sekolah Menengah (SM) Pay Fong, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerjasama antara pemimpin yang berkongsi prinsip sama penting bagi memastikan pentadbiran negeri dan negara bebas daripada amalan penyelewengan.
Beliau turut menegaskan bahawa matlamat kerajaan adalah untuk memastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan dan pentadbiran yang aman tanpa mengira latar belakang kaum.
“Saya nak jadikan negeri ini aman, selamat, baik untuk Melayu, Cina, India, serta Sabah dan Sarawak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














