Kerjasama BN, PH dan GRS di Sabah dimuktamadkan
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi memuktamadkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan hujung tahun ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama strategik itu telah dikunci sebagai satu bentuk pakatan rasmi antara kedua-dua gabungan bagi memastikan kestabilan politik negeri.
“Kita telah memuktamadkan perkongsian dan kolaborasi bersama Pakatan Harapan.
“Ini bermakna Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah dikunci sebagai rakan kongsi dalam menghadapi PRN Sabah,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerjasama antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga telah disepakati dan dimuktamadkan oleh kepimpinan gabungan tersebut.
“Bagi kerjasama PH dan GRS, ia juga merupakan satu kesepakatan bersama yang telah dimuktamadkan antara mereka,” jelasnya lagi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, langkah berkenaan menunjukkan keterbukaan dan kematangan politik antara semua pihak dalam memastikan landskap politik Sabah kekal stabil dan harmoni.
“Kita akan terus membuka pintu kerjasama antara BN dan PH dengan parti-parti lain atau gabungan-gabungan politik di Sabah.
“Kita mahu memastikan semangat permuafakatan ini diterjemah secara harmoni dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
Sebelum itu, proses rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN bagi menghadapi PRN Sabah telah diselesaikan.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PH dan BN akan bertanding sebagai satu pasukan dalam pilihan raya itu.
“KEADILAN sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRN Sabah,” katanya lagi.
Fuziah bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh setiap gabungan, namun Timbalan Pengerusi PH Sabah, Mustapha Sakmud sebelum ini menyatakan PH menyasarkan antara 23 hingga 25 kerusi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi penggal ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada penghujung Oktober ini setelah cukup tempoh lima tahun, memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRN ke-17 selewat-lewatnya akhir Disember.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengesahkan kerjasama dengan PH dan menyatakan perbincangan pembahagian kerusi telah dimulakan serta satu ‘formula asas’ sudah dibentuk meskipun belum dimuktamadkan sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














