POLITIK

PRN Melaka: Akui Adly ‘heavyweight’, calon PN Bukit Katil mahu buktikan kemampuan

HANG TUAH JAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Ridzuan Sarif mengakui berdepan cabaran besar apabila perlu menentang calon ketua menteri Melaka Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau menyifatkan Adly sebagai tokoh politik dan tidak menafikan perlu bekerja lebih keras untuk menyaingi bekas Ketua Menteri Melaka itu, yang mempunyai pengalaman serta rekod politik tersendiri.

Beliau berkata, keputusan menang atau kalah adalah perkara biasa dalam pertandingan, sebaliknya usaha mendekati masyarakat dan menyantuni pengundi menjadi keutamaannya.

“Saya tidak menafikan beliau merupakan seorang tokoh negarawan. Dalam masa sama, saya perlu berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kemenangan, khususnya di DUN Bukit Katil.

Apa yang paling penting ialah usaha kita, bagaimana kita menyantuni masyarakat setempat, turun ke lapangan dan bertemu semua pengundi,” memetik FMT online.

Ridzuan turut mengakui berasa gentar untuk berdepan Adly, namun sokongan keluarga, rakan-rakan dan jentera parti memberikan keyakinan untuk meneruskan perjuangan.

“Sokongan itu bukan sahaja diterima secara fizikal, malah menerusi media sosial yang turut membantunya membina semangat sepanjang kempen,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari berkata Adly calon terbaik setakat ini untuk menerajui Melaka sekiranya gabungan itu mendapat mandat membentuk kerajaan.

“Adly bukan nama asing dalam pentadbiran negeri apabila pernah menjadi ketua menteri Melaka dari Mei 2018 hingga Mac 2020 selepas PH mengambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Dalam pada itu, Ridzuan yang mengakui sebagai calon muka baharu berkata maklum balas positif diterima daripada penduduk sepanjang empat hari pertama berkempen menjadi dorongan untuk terus mendekati pengundi. Menurutnya, penduduk mahukan perubahan serta wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan mereka.

Beliau berkata, pengalaman berkhidmat selama kira-kira 20 tahun dalam sektor awam, termasuk pegawai kesihatan dan keselamatan Melaka, menjadi bekalan untuk menawarkan khidmat kepada masyarakat setempat.

“Jika diberikan mandat, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keperluan penduduk Bukit Katil, berbeza dengan tugas terdahulu yang meliputi seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut berkata, kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN) sebagai kelebihan kepada jentera gabungan itu untuk menghadapi PH.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button