PRN Melaka: Bapa mahu Mukhlis tinggalkan ‘air tangan’ untuk masyarakat Kuala Linggi
KUALA SUNGAI BARU – Bapa calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Julasapiyah Kassim berharap anaknya, Muhammad Mukhlisul Mubin dapat meninggalkan ‘air tangan’ yang boleh dikenang masyarakat di kawasan itu sekiranya diberi peluang memikul amanah sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar matlamat untuk mendapatkan kuasa, sebaliknya menjadi jambatan bagi membolehkan seseorang wakil rakyat membawa perubahan serta membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Bagi saya, kita bertanding bukan semata-mata untuk menang. Kita bertanding untuk mencari kesejahteraan masyarakat. Menang itu satu jambatan untuk kita bantu masyarakat.
“Saya berharap Mukhlis dapat tinggalkan ‘air tangan’ dia di Kuala Linggi. Walaupun belum menjadi pemimpin atau belum menang, biarlah ada sesuatu yang boleh dibuat dan dikenang oleh masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (Melaka) di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.
Julasapiyah berkata, pemilihan Mukhlis, 23, sebagai calon juga bukan semata-mata kerana beliau merupakan anaknya, sebaliknya dibuat selepas melalui proses tapisan dan penilaian oleh kepimpinan parti.
Beliau yang pernah bertanding sebanyak lima kali berkata, pengalaman itu mengajarnya bahawa pemilihan calon dalam parti bukan berdasarkan permintaan atau lobi peribadi, sebaliknya bergantung kepada penilaian kepimpinan terhadap kemampuan seseorang.
“Saya bertanding lima kali bukan sebab saya minta. Setiap kali kepimpinan buat tapisan, mereka melihat saya sebagai orang yang bekerja, sebab itu saya dipilih.
“Begitu juga Mukhlis. Dia bukan masuk sebab saya kata dia mesti masuk. Kepimpinan melihat dia ada bakat dan kemampuan,” katanya.
Menurutnya, bakat seseorang calon tidak boleh dinilai berdasarkan dakwaan diri sendiri, sebaliknya perlu dilihat oleh masyarakat dan pihak yang membuat penilaian.
“Bakat itu bukan kita yang kata kita ada bakat. Bakat dinilai oleh orang yang melihat kita, oleh masyarakat dan pihak yang membuat penilaian.
“Dalam kes Mukhlis, selepas melalui tapisan, kepimpinan melihat dia mempunyai bakat dan kemampuan. Daripada proses mencari calon terbaik itu, Mukhlis kebetulan menjadi calon yang terbaik,” katanya.
Julasapiyah turut berharap masyarakat Kuala Linggi memberi peluang kepada anaknya untuk membuktikan kemampuan serta menyumbang kepada kawasan berkenaan.
Katanya, sebagai calon daripada sebuah parti yang mempunyai struktur organisasi dan proses pemilihan tersendiri, Mukhlis membawa amanah parti, bukan bergerak sebagai calon bebas.
“Kita daripada Pakatan Harapan. Kita bukan parti yang bergerak seorang diri. Kita ada organisasi dan proses tapisan. Kepimpinan yang menentukan siapa yang sesuai mewakili parti.
“Jadi, harapan saya besar supaya masyarakat Kuala Linggi memberi peluang kepada Mukhlis,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








