Lelaki 41 tahun ditahan kes bunuh warga emas di Kota Tinggi
KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 68 tahun di kawasan Felda Lok Heng Selatan, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan pada kira-kira jam 7.56 malam semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kedua-dua belah lengan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Waha, Kota Tinggi.
“Susulan kejadian itu, sepasukan polis daripada Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek kira-kira jam 10.26 pagi, hari ini.
“Suspek ditahan di sebuah kebun kelapa sawit di Kota Tinggi. Polis turut merampas sebilah kapak dan sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pengerang esok bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Menurut Ab Rahaman, punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan polis.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian hotline Polis Johor i 019-2792095 atau Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di 07-2212999, atau menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment