Rakan sekelas Irene Sofiya didakwa bunuh hari ini
BATU PAHAT – Pelajar lelaki Tingkatan Empat yang juga rakan sekelas Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dijadualkan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh remaja perempuan itu.
Menurut sistem e-Kehakiman, suspek berusia 16 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno pada jam 9 pagi.
Suspek bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Arahan pertuduhan itu difahamkan dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini, kira-kira jam 5.50 petang.
Mangsa yang juga anak perempuan tunggal keluarganya dikatakan tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan tamat pada jam 5 petang.
Kehilangan mangsa disedari selepas seorang rakannya melihat motosikalnya masih berada di kawasan sekolah sebelum pergi ke rumah nenek Fiya untuk bertanyakan sama ada mangsa sudah pulang.
Selepas mendapat tahu mangsa belum pulang, neneknya bersama ibu saudara dan rakan mangsa pergi mencarinya di kawasan sekolah sebelum Fiya ditemukan terbaring di dalam dewan berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan darah kering pada badan mangsa selain kesan lebam yang dipercayai akibat dipukul.
Susulan kejadian itu, polis menahan pelajar lelaki yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan.
Suspek direman sejak 4 Oktober lalu dan tempoh remannya dijadualkan berakhir hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








