KPKM nafi lambat tangani kenaikan kos pengeluaran
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan bahawa kementerian itu lambat mengambil tindakan bagi menangani peningkatan kos pengeluaran susulan kenaikan harga baja, jagung, hampas kacang soya dan bahan api.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan sudah mengambil langkah meningkatkan pengeluaran makanan domestik secara berskala besar menerusi Mesyuarat Khas Kabinet pada 13 Mac lalu.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan dengan meningkatkan produktiviti aset pengeluaran makanan negara serta mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian, khususnya di kawasan pengeluaran makanan yang dikenal pasti.
“Ini termasuk Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen semalam bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, mengenai langkah kementerian menangani kenaikan kos pengeluaran sektor pertanian.
Mohamad berkata, KPKM turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengawal dan mengurangkan kesan kenaikan kos berkenaan, termasuk pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
“Pengecualian itu meliputi 10 item baja, 19 item makanan ternakan dan 10 item racun perosak, termasuk bahan mentah bagi pengilangan makanan ternakan,” katanya lagi.
Selain itu, kerajaan mempermudah urusan pembelian diesel untuk kegunaan jentera pertanian serta meningkatkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan mulai April lalu.
Dalam sektor perikanan, subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada nelayan yang menjalankan aktiviti tangkapan terus dikekalkan.
KPKM turut menyediakan peruntukan RM17.58 juta bagi memperkukuh mekanisasi dan automasi penanaman padi, sekali gus meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








