Jurucakap Rumah Putih cetus kontroversi, dakwa China tiada tandas sempurna
WASHINGTON – Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa China tidak mempunyai tandas yang sempurna dalam satu temu bual yang disiarkan pada Khamis, kurang seminggu selepas dilantik ke jawatan itu.
Katie, 41, turut berdepan penelitian terhadap kelayakan perundangannya selepas memberikan jawapan yang tidak jelas mengenai lokasi beliau menduduki peperiksaan kelayakan peguam, syarat yang diperlukan untuk mengamalkan profesion guaman di Amerika Syarikat (AS).
Dalam temu bual bersama pempengaruh berhaluan kanan, Jack Posobiec, Katie yang pernah menetap di China mengimbas kembali persepsi pada 2016 bahawa negara itu bakal mengatasi AS sebagai kuasa utama dunia.
“Kita semua diberitahu Hillary (Clinton) akan menang. Zaman kegemilangan atau era kemuliaan Amerika sudah berakhir, manakala China pula semakin menghampiri kedudukan itu,” katanya.
Beliau kemudian berkata, pengalamannya menetap di China menimbulkan persoalan terhadap tanggapan berkenaan.
“Saya masih ingat dengan jelas ketika itu, selepas baru pulang dari China, saya terfikir, bagaimana China boleh menjadi negara yang bakal mengatasi kita? Mereka pun tidak mempunyai tandas yang sempurna,” katanya.
Setakat ini, pihak berkuasa China belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung komen berkenaan.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini sering menzahirkan hubungan baiknya dengan Presiden China, Xi Jinping.
Dalam satu sidang kemuncak di Washington pada September lalu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu termasuk kecerdasan buatan (AI), perdagangan dan perang Iran yang masih berlarutan, selain mengesahkan rancangan untuk mengadakan pertemuan kali ketiga dan keempat pada tahun ini.
Katie mengadakan taklimat media pertamanya di Rumah Putih pada Selasa lalu, namun hanya menjawab soalan daripada tiga wartawan.
Beliau menggantikan Karoline Leavitt, penyokong setia Trump yang dikenali dengan pendekatan tegas ketika berhadapan media, selepas Leavitt meletakkan jawatan pada Ogos lalu bagi memberi tumpuan kepada penjagaan anak-anaknya yang masih kecil.
Katie sebelum ini memperkenalkan dirinya sebagai peguam dan menyenaraikan jawatan penasihat undang-undang utama di sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan konservatif yang berpangkalan di California.
Beliau turut mendakwa pernah bekerja di sebuah firma guaman di Beijing.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai latar belakang perundangannya, Katie berkata beliau pernah mendaftar untuk menduduki peperiksaan kelayakan peguam, tetapi terganggu dan dibebani persiapan untuk berpindah ke China bersama suaminya.
Katanya, beliau tidak menduduki semula peperiksaan itu selepas kembali ke AS kerana kelahiran anak sulungnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







