BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump, Putin bincang gencatan senjata – Rumah Putih sahkan panggilan telefon

ISTANBUL – Rumah Putih mengesahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, semalam bagi membincangkan usaha mencapai gencatan senjata antara Moscow dan Kyiv.

Memetik laporan BH online, panggilan tersebut dibuat susulan rundingan langsung pertama antara wakil Russia dan Ukraine yang berlangsung di Istanbul pada Jumaat lalu – pertemuan pertama seumpamanya dalam lebih tiga tahun.

Trump sebelum itu memaklumkan menerusi hantaran di platform Truth Social bahawa beliau akan menghubungi Putin bagi membincangkan isu keselamatan dan perdagangan.

“Semoga ini hari yang produktif,” tulis Trump dalam kenyataan ringkas di media sosial tersebut.

Kremlin turut mengesahkan bahawa perbualan itu akan berlangsung selepas Trump membuat pengumuman awal pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan CNN memetik sumber Pejabat Presiden Ukraine yang mendakwa Trump terlebih dahulu menghubungi Presiden Volodymyr Zelenskyy sebelum bercakap dengan Putin, walaupun pengumuman awal menyatakan sebaliknya.

Menurut jadual yang dikongsikan Trump, panggilan bersama Putin dijadualkan pada pukul 10 pagi waktu Washington (1400 GMT), diikuti sesi bersama Zelenskyy dan pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi sama ada panggilan bersama Zelenskyy benar-benar berlangsung, manakala Rumah Putih enggan mengulas lanjut mengenai perubahan jadual yang dilaporkan.

Trump menggambarkan inisiatif diplomatik itu sebagai satu langkah penting ke arah menghentikan “pertumpahan darah” yang menurutnya telah meragut lebih 5,000 nyawa askar setiap minggu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button