BERITA SEMASA

Isteri Loe Solo sudah serah semua petunjuk kepada polis Nepal

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang masih hilang susulan bencana di Nepal, telah menyerahkan segala maklumat dan petunjuk dimilikinya kepada pihak berkuasa negara itu bagi membantu operasi pencarian suaminya.

Hani Othman yang kini berada di Kathmandu berkata, antara maklumat yang disalurkan ialah penampakan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) berwarna putih yang dipercayai dinaiki suaminya bersama kumpulan pendaki sebelum tragedi berlaku.

“Semua maklumat berkenaan perlu diserahkan kepada pihak polis Nepal dan mereka sedang membantu dalam siasatan. Sebarang penemuan baharu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Sekiranya pihak keluarga mangsa mempunyai sebarang maklumat tambahan, kami akan terus menyalurkannya kepada pihak kedutaan dan polis Nepal untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Bernama.

Mohd Fakhrul Munir, 40-an, yang lebih dikenali sebagai Loe Solo, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di Nepal selepas banjir besar melanda negara itu pada 26 Ogos lalu.

Turut dilaporkan hilang dalam misi sama ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul.

Hani berkata, pihak berkuasa tempatan Nepal kini giat menjalankan siasatan dan operasi pencarian berdasarkan maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hantaran media sosialnya sebelum ini mengenai penampakan dua 4WD yang dipercayai dinaiki suaminya dan kumpulan berkenaan sebelum mereka dilaporkan hilang dalam kejadian banjir serta tanah runtuh.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan operasi pencarian dari semasa ke semasa.

Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dihubungi susulan bencana berkenaan, manakala 77 lagi yang disahkan selamat di Tibet dan Nepal telah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses selanjutnya sebelum pulang ke Malaysia.

Menurut laporan Agensi Anadolu, angka korban akibat bencana berkenaan meningkat kepada 1,220 orang, manakala 4,762 individu termasuk 844 warga asing masih dilaporkan hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button