BERITA SEMASA

Banjir Nepal: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia hilang disahkan selamat

KUALA LUMPUR – Harapan keluarga yang menanti khabar 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal terubat apabila seorang daripada mereka disahkan selamat selepas muncul di Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, semalam.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan berkata, individu lelaki berbangsa Cina itu hadir sendiri ke kedutaan sebelum kembali ke Malaysia pagi ini dan kini bersama keluarganya.

Jurucakap MASFIH, Dr R Manivannan.

Katanya, individu berkenaan melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pengembara solo daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia yang setakat ini disahkan selamat.

“Bagi MASFIH dan keluarga, penemuan seorang rakyat Malaysia yang selamat pada hari ke-37 merupakan satu perkembangan amat melegakan dan sangat bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Manivannan, berdasarkan maklumat yang diterima daripada waris, individu terbabit berada di Nagthali Viewpoint pada pukul 3.26 petang, 25 Ogos lalu, sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh.

Katanya, Nagthali Viewpoint merupakan kawasan tanah tinggi yang terletak jauh lebih tinggi berbanding kawasan Rasuwagadhi.

“Menurut maklumat disampaikan oleh waris, dia terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, selain ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu memberikan gambaran bahawa seseorang masih boleh berada dalam keadaan selamat walaupun terputus hubungan dan terkandas untuk tempoh panjang apabila jalan, jambatan, bekalan asas serta kemudahan komunikasi terjejas akibat bencana.

Dalam pada itu, Manivannan berkata, baki 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi bukan terdiri daripada pelancong yang melakukan perjalanan secara bersendirian.

“Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan dan disemak bersama keluarga, kesemua mereka melakukan perjalanan secara berkumpulan dalam beberapa kumpulan berasingan.

“Pecahan kumpulan perjalanan itu ialah 23 orang, 17 orang, sembilan orang, tiga orang dan dua orang yang bergerak bersama kumpulan pelancong daripada kewarganegaraan lain,” katanya.

Menurutnya, daripada segi latar belakang etnik, mereka terdiri daripada 42 rakyat Malaysia berbangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina.

Manivannan berkata, pihak MASFIIH bersama keluarga akan terus menantikan sebarang perkembangan berhubung baki 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button