Kisah rumah usang dan Kak Umi
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkongsi kisah pengorbanan seorang pejuang reformasi tempatan, Kak Umi cukup dihormati penduduk kampung kerana ketabahan dan pengorbanannya membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, beberapa minggu lalu beliau sempat melawat Kak Umi secara mengejut.
“Kebetulan masa tu Kak Umi baru turun dari bukit Tok Kun mengambil upah jaga dusun milik ayah sahabat baiknya Fatin.
“Saya terdiam melihat keadaannya. Letih, lesu, tapi masih tersenyum. Saya tawarkan bantuan. Tapi seperti biasa, Kak Umi menolak dengan lembut,” kata Steven Sim dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, semalam.
Apa yang lebih mengesankan, kata Steven SIm, adalah apabila kebimbangan Kak Umi bukan untuk dirinya sendiri, tetapi terhadap adiknya, Rosman, seorang pesakit jantung yang tidak mampu bekerja berat dan tinggal di rumah pusaka yang hampir runtuh.
“Begitulah Kak Umi dari dulu tak pernah berubah, Kak Umi bimbang. Bukan untuk dirinya, tapi untuk Rosman sekeluarga. Dia minta saya, dengan suara yang perlahan tapi penuh harapan, ‘Kalau boleh, tolonglah bantu Rosman.'”
“Saya bagitau Kak Umi saya akan cuba sedaya upaya saya,” katanya.
Dua hari lepas, Kak Umi sendiri menelefon Steven Sim dengan suara gembira mengkhabarkan rumah baharu tersebut sudah siap dibina dan menjemput beliau ke majlis doa selamat.
“Sebaik saja saya tiba di rumah Kak Umi, terkejut saya melihat rumah yang sebelum ini terlalu usang dan hampir runtuh kini tersergam indah di depan mata.

“Majlis doa selamat dan kesyukuran bukan saja dihadiri oleh jemaah surau malah jiran-jiran dari berbagai kaum turut datang sekali. Kita susah sama-sama kita senang sama-sama. Itulah orang Malaysia kita,” kata Seteven Sim lagi.
Rumah baharu itu disiapkan hasil kerjasama gotong-royong penduduk serta lebih 20 pelajar daripada kursus kepimpinan First CDK Engineering.
Selain rumah baharu, Steven Sim turut mencadangkan supaya kedai makan lama milik keluarga itu dibaik pulih supaya Rosman dapat berniaga sendiri dan menambah pendapatan untuk menyara dua orang anaknya yang masih bersekolah.
“Rosman pterkejut atas tawaran saya tapi dia terus bersetuju. Saya akan bantu dia untuk berdiri semula. Dua orang anaknya masih bersekolah. Saya doakan kehidupan mereka selepas ini akan menjadi lebih baik,” kata beliau.
Steven Sim menegaskan, kisah Kak Umi adalah lambang ketabahan rakyat Malaysia yang hidup sederhana tetapi kaya jiwa, serta tauladan bagaimana semangat kebersamaan boleh mengubah kehidupan sebuah keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








