KESUMA perkenal dua reformasi perkukuh perlindungan sosial
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang mengusulkan dua reformasi utama kepada sistem perlindungan sosial negara membabitkan perlindungan 24 jam kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS).
Menterinya, Steven Sim menjelaskan, perlindungan 24 jam kepada pencarum PERKESO membolehkan mereka membuat tuntutan atas sebarang kemalangan atau bencana pada bila-bila masa termasuk di luar waktu kerja atau hujung minggu.
“Bagi Skim Insurans Pekerjaan (EIS) dengan pengenalan Elaun Mobiliti RM1,000 bagi pencarum yang menerima pekerjaan baharu sejauh lebih 100 kilometer dari tempat tinggal asal bertujuan membantu menampung kos perpindahan dan pengangkutan.
“Langkah ini akan memperluas jaringan perlindungan kepada pekerja gig dan mereka yang sedang mencari pekerjaan baharu, sekaligus menjadikan sistem keselamatan sosial negara lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya sambil menambah usul berkenaan akan dibentang di Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Media PERKESO 2025 di Hotel Mandarin Oriental, semalam.
Steven berkata, PERKESO sudah melaksanakan 10 penambahbaikan utama dalam tempoh dua tahun ini yang dilaksanakan berasaskan fokus kementerian terhadap tiga teras utama iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan (3K) bagi memastikan setiap pencarum menerima manfaat secara menyeluruh.
“Dalam masa singkat 24 bulan ini, PERKESO sudah melakukan pembaharuan besar-besaran yang menjadi ‘game changer’ kepada sistem keselamatan sosial negara.
“Antara pencapaian utama ialah peningkatan manfaat kepada pencarum sebanyak 20 peratus, meningkatkan kadar faedah khariat kematian daripada RM2,000 kepada RM3,000 bagi meringankan beban keluarga waris.
“PERKESO juga memperluas Skim Keilatan kepada pekerja migran yang membolehkan golongan itu menikmati perlindungan sama seperti pekerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumbangan derma atau dana awam jika berlaku kemalangan,” katanya.
Selain itu, Steven berkata, PERKESO kini memiliki tiga pusat rehabilitasi, masing-masing di Melaka, Ipoh, Terengganu dan lokasi keempat bakal dibina di Pulau Pinang seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026.
Pusat rehabilitasi itu, katanya bagi membantu proses pemulihan pekerja yang ditimpa musibah.
“Selain itu, sejak Februari lalu, sebanyak 1,400 klinik panel PERKESO di seluruh negara menawarkan rawatan tanpa bayaran pendahuluan kepada pencarum, bagi memastikan akses rawatan kesihatan lebih mudah kepada golongan pekerja berpendapatan rendah.
“Sebelum ini, pencarum perlu membayar dulu kos rawatan antara RM150 hingga RM200 sebelum menuntut semula bayaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







