BERITA SEMASA

Lindung 24 Jam: PERKESO lulus lebih 62 peratus tuntutan dalam tempoh tiga minggu

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah meluluskan lebih 62 peratus tuntutan di bawah skim baharu Lindung 24 Jam dalam tempoh tiga minggu pertama pelaksanaannya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, sejak skim itu diperkenalkan pada 1 Jun lalu, sebanyak 136 tuntutan faedah telah diluluskan daripada keseluruhan permohonan yang diterima, melibatkan bayaran faedah berjumlah RM672,743.10.

Menurut beliau, ramai masih beranggapan perlindungan PERKESO hanya terhad kepada kemalangan yang berlaku di tempat kerja, sedangkan menerusi inisiatif Lindung 24 Jam, perlindungan kini turut merangkumi insiden yang berlaku di luar waktu bekerja termasuk pada hari cuti.

“Sebanyak 62.9 peratus tuntutan yang diterima telah diluluskan dalam tempoh 21 hari pertama pelaksanaan skim ini.

“Langkah ini memastikan Orang Berinsurans (OB) yang ditimpa musibah di luar waktu tugas tetap mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menutup jurang perlindungan yang wujud sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keperluan perlindungan menyeluruh itu terbukti penting kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi atau waktu.

Antara penerima terawal skim berkenaan ialah waris kepada dua mangsa kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor iaitu Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, yang menjadi penerima pertama manfaat di bawah Lindung 24 Jam.

Di Sabah pula, seorang petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Brissty Vidalyn Felicianus, 33, menerima perlindungan selepas cedera apabila kenderaan yang dinaikinya terbabas ke dalam gaung ketika pulang daripada aktiviti pendakian di Keningau.

Mangsa yang mengalami patah bahu dan kaki kanan kini dipantau oleh Skuad Prihatin Perkeso serta menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakitnya.

Di Perak, seorang pekerja syarikat kereta terpakai, Chen Chee Ling, 51, turut menerima manfaat skim tersebut selepas mengalami patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir ketika menjamu selera bersama keluarga di sebuah kedai makan.

Mengulas lanjut, Ramanan mengingatkan semua majikan dan pekerja agar memastikan caruman PERKESO sentiasa dibuat mengikut ketetapan bagi menjamin perlindungan optimum kepada pekerja.

“Ketika bersukan, beriadah, bercuti atau menjalani aktiviti harian sekalipun, kemalangan boleh berlaku dan mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata.

“Justeru, caruman inilah yang menjadi jaringan keselamatan bagi membantu kelangsungan hidup mereka dan keluarga apabila musibah berlaku,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button