BERITA SEMASA

‘Kalau tak buat salah, baliklah’

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri yang sebelum ini didakwa melarikan diri ke Thailand, digesa pulang ke tanah air sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Gesaan itu dinyatakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, hari ini.

“Kalau tak buat salah, baliklah ke Malaysia. Kenapa nak sembunyi?” kata Ramanan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Flag Off Sumbangan Bakul Makanan Ziarah MADANI sempena Aidilfitri, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menegaskan, kerajaan sebelum ini sudah beberapa kali menegaskan, tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja) sehingga boleh menggugat keharmonian negara.

“Saya dah banyak kali maklumkan sebelum ini. Kabinet sudah membuat keputusan sesiapa sahaja yang melanggar 3R, tidak kira dia Cina, Melayu atau India dan cuba menggugat keharmonian negara dengan memainkan isu kaum dan agama, tindakan tegas akan diambil,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, polis telah mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menuduh kedua-dua individu itu.

Siasatan ke atas Zamri dijalankan berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu membabitkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India sudah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button