Dua daripada tiga ancaman ‘C’ Tun Abdul Razak masih jadi cabaran – Anwar
KUALA LUMPUR – Dua daripada tiga ancaman utama yang dikenal pasti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lebih lima dekad lalu, iaitu perkauman dan rasuah, masih menjadi cabaran besar kepada Malaysia ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman pertama iaitu komunisme dalam bentuk pemberontakan bersenjata sudah tidak lagi wujud, namun negara perlu terus berwaspada terhadap ideologi asing atau ekstremis.
“C yang pertama ialah komunisme, ancaman gerombolan komunis yang tidak boleh diremehkan kerana itu ancaman bersenjata dan menyebabkan askar Melayu, askar Malaysia dan polis ramai yang terkorban.
“C yang kedua ialah komunalisme. Dia kata, ‘a very painful process’ kerana negara ini negara pelbagai kaum dan rakyat di mana pun sangat mampu terheret dengan sentimen kaum yang kuat kalau tidak dikawal.
“Yang ketiga, bayangkan tahun 1970-an Tun Razak menyebut ancaman ketiga yang bahaya bagi negara, iaitu korupsi,” katanya ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Negara Bangsa di Memorial Tun Abdul Razak di sini hari ini.
Menurutnya, Tun Razak ketika itu turut menekankan kepada golongan muda mengenai bahaya komunalisme, termasuk dalam kalangan pemimpin Melayu.
“Walaupun sudah semua tahu, tidak boleh kita nafikan bahawa Tun Razak masih menjadi tokoh dan watak Melayu, pemimpin Melayu sebab bangsa Melayu yang ulung dan digeruni.
“Tetapi beliau sering menasihatkan dan menekankan, termasuk kepada kami pemimpin bangsa Melayu dan pada masa itu, tentang ancaman kefahaman yang serong daripada semangat kebangsaan Melayu yang mulia, iaitu kaum yang sempit,” katanya.
Anwar berkata, Tun Razak turut memberi peringatan mengenai bahaya korupsi yang ketika itu sudah mula hinggap dalam kalangan golongan berkuasa.
Katanya, Tun Razak mencabar golongan muda dengan menjelaskan bahawa penolakan terhadap rasuah ketika mereka masih muda adalah mudah kerana belum ada pihak yang menawarkan sogokan.
“Dia kata, ya, kamu semua sekarang anak muda menentang rasuah, menolak dengan keras sebab tak ada orang nak rasuah dengan kamu,” katanya.
Anwar berkata, ancaman komunisme dari segi ketenteraan kini sudah tiada, namun ideologi yang berkaitan masih perlu diawasi.
“Ketiga-tiga ancaman, komunisme dari segi ancaman militan itu tidak ada tetapi dari ideologi yang ada itu harus kita waspadai, komunalisme masih kuat dan korupsi masih menjadi salah satu masalah,” katanya.
Beliau berkata, pesanan Tun Razak berhubung tiga ancaman berkenaan perlu terus menjadi panduan kepada generasi kini dan akan datang dalam usaha mengangkat martabat bangsa serta negara.
“Perbincangan kita ini tidak mungkin terlepas daripada pesanan pemimpin negarawan negara bangsa yang dapat menerobos dan melihat hal yang boleh menyelamatkan negara yang boleh dihindari oleh generasi kini dan generasi ke depan.
“Anak-anak muda terutamanya harus melihat bagaimana boleh kita angkat martabat bangsa dan negara ini dengan menghadang dan menghayati beberapa pesanan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment