Tindakan penguatkuasaan terhadap pelarian Rohingya hampir setiap hari – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperketat penguatkuasaan terhadap kegiatan perniagaan tanpa lesen dan kebenaran yang dikendalikan pelarian Rohingya, khususnya kegiatan yang menjejaskan mata pencarian peniaga tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan penguatkuasaan kini dilakukan hampir setiap hari terhadap mereka yang didapati menjalankan perniagaan secara haram, termasuk merampas premis atau mengambil tindakan terhadap kegiatan berkenaan.

“Sekarang ini tindakan penguatkuasaan kita lihat hampir setiap hari. Ada yang ditangkap ataupun dirampas kerana melakukan kegiatan perniagaan tanpa lesen dan tanpa kebenaran.
“Ada yang mengambil alih tempat penduduk. Walaupun sebahagian tempat itu diberikan lesen kepada penduduk, kita beri amaran bahawa kalau berlaku kes pemegang lesen menyerahkan lesen kepada orang asing, lesen itu akan dirampas. Itu sebabnya kita dapat mengawal sedikit,”
Beliau berkata, pada masa sama kerajaan berusaha membawa pulang pelarian berkenaan ke negara asal melalui rundingan dengan kerajaan Myanmar.
“Saya kata pertama, hantar balik. Ada kebimbangan dan malah bantahan kerana isu keselamatan dan kemanusiaan mereka. Tetapi saya sudah beritahu, semaksimum mungkin dalam rundingan kita tekankan perkara ini.
“Kerajaan Myanmar dan Kementerian Luar memberi jaminan kepada Menteri Luar dan Presiden Min Aung Hlaing juga memberi jaminan kepada saya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Isa di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Isam dalam soalannya membangkitkan kebimbangan terhadap keberadaan pelarian etnik di negara ini yang menurutnya bukan sahaja menyentuh aspek kemanusiaan, malah semakin dikaitkan dengan isu keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan berhubung peningkatan kegiatan pendapatan haram, perniagaan tanpa lesen serta penyeludupan manusia yang mengambil kesempatan daripada krisis pelarian.
Mohd Isam turut meminta penjelasan mengenai strategi penguatkuasaan bersepadu antara agensi kerajaan bagi melumpuhkan kegiatan penyeludupan manusia di sempadan negara serta tindakan terhadap premis dan perniagaan haram yang dikendalikan pelarian Rohingya.
Anwar berkata, usaha membawa pulang mereka ke Myanmar perlu dilaksanakan melalui rundingan kerana kerajaan negara berkenaan serta Presiden Min telah memberikan jaminan kepada Malaysia.
“Itu sebaik mungkin yang dapat kita lakukan untuk kes menghantar mereka pulang. Kalau tidak ada penyelesaian, kita boleh marah bagaimanapun, tetapi tidak ada penyelesaian,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar bersetuju dengan gesaan supaya tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan sementara usaha membawa pelarian terbabit pulang ke negara asal masih dalam proses.
“Tetapi saya setuju dengan gesaan Ahli Yang Berhormat. Jadi, sementara mereka belum dibawa pulang ke negara asal, penguatkuasaan harus lebih tegas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








