Lebih 10,000 warga Myanmar dihantar pulang babit pelbagai etnik – PM
KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 warga Myanmar di Malaysia telah dihantar pulang ke negara asal sejak Januari lalu, membabitkan pelbagai etnik dan bukan hanya pelarian Rohingya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghantaran pulang itu dilaksanakan berdasarkan perjanjian antara Malaysia dan Myanmar yang tidak menetapkan etnik tertentu, sebaliknya merangkumi warga negara itu daripada Rakhine, Karen, Shan dan Rohingya.
Menurutnya, sebahagian daripada mereka dihantar pulang atas inisiatif kerajaan Myanmar menggunakan pesawat sejak Januari lalu, manakala penghantaran terakhir membabitkan kira-kira 1,400 orang menggunakan kapal tentera laut Myanmar menerusi program penghantaran pulang secara sukarela.
“Kita boleh bincang masalah ini selama puluhan tahun tetapi ini penyelesaian pertama yang kita catat.
“Setakat yang saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengenai sama ada terdapat etnik Rohingya yang dihantar pulang menerusi program penghantaran pulang secara sukarela warga Myanmar.
Anwar berkata, jumlah warga Myanmar di Malaysia kini mencecah kira-kira 170,000 orang daripada pelbagai etnik, dengan status mereka dari sudut Malaysia hampir sama dengan etnik Rohingya.
Katanya, kerajaan turut menetapkan syarat kepada Myanmar supaya memberikan jaminan layanan yang munasabah kepada rakyatnya yang dihantar pulang bagi memastikan mereka tidak berdepan penderaan atau pelanggaran hak asasi manusia.
“Dengan persetujuan dia (rakyat yang dihantar pulang), menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita hantar. Jika tidak, kita masih tidak hantar untuk menjamin keselesaan mereka dan hak asasi.
“Jadi yang pulang itu, menandatangani dokumen persetujuan dahulu, tanpa paksaan untuk dihantar pulang,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan pengurusan negara perlu berlandaskan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Katanya, mereka yang berada di negara ini tanpa mematuhi peraturan tidak seharusnya diberikan layanan sehingga menyebabkan mereka berasa selesa untuk terus kekal di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








