Ahli Parlimen Tenggara jelaskan isu penggunaan ayat al-Quran dalam perbahasan RCI Tabung Haji
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menjelaskan bahawa penggunaan beberapa ayat al-Quran ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak dimaksudkan untuk menuduh mana-mana individu sebagai munafik.
Beliau berkata, penjelasan itu dibuat susulan teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika sesi penggulungan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Manndzri, beliau dimaklumkan mengenai teguran berkenaan selepas meninggalkan Parlimen lebih awal selepas solat Asar kerana perlu membuat persiapan bagi urusan umrah.
“Saya ingin menjelaskan bahawa ketika saya membaca ayat berkenaan pada hujung perbahasan sebelum membuat kesimpulan dan mengemukakan dua cadangan, iaitu RCI Tabung Haji 2.0 bagi tempoh 2022 hingga 2026 serta RCI terhadap UJSB, ayat itu tidak ditujukan kepada RCI ini secara khusus.
“Sebaliknya, ia adalah secara umum kepada sesiapa sahaja yang menipu dan mendustakan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Manndzri turut menjelaskan bahawa beliau memahami kaedah tafsir yang menyebut “العِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ”, yang bermaksud pegangan adalah berdasarkan keumuman lafaz dan bukan kekhususan sebab sesuatu nas diturunkan atau diucapkan.
Menurutnya, sesuatu ayat al-Quran atau hadis mungkin berkaitan dengan peristiwa, individu atau keadaan tertentu, namun sekiranya lafaz nas tersebut bersifat umum, pengajarannya tidak semestinya terhad kepada peristiwa atau individu berkenaan.
“Ringkasnya, sebab mungkin khusus, tetapi lafaz dan pengajarannya boleh bersifat umum.
“Kaedah ini penting supaya nas al-Quran dan Sunnah tidak dikurung dalam konteks sejarah semata-mata, sebaliknya terus menjadi panduan merentas zaman dan keadaan selagi keumuman lafaz tersebut tidak dikhususkan oleh dalil lain,” katanya.
Beliau berkata, ayat daripada Surah Az-Zariyat ayat 10 serta Surah Al-Baqarah ayat 9 dan 42 antara nas yang dirujuknya ketika perbahasan berkenaan.
Dalam pada itu, Manndzri menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai munafik.
“Jadi tidak timbul, apatah lagi hendak menuduh sahabat saya, Menteri JPM (Agama) yang arif bijaksana sebagai munafik. Langsung tidak terlintas niat.
“Yang saya niatkan hanyalah supaya setiap soalan Tenggara dijawab, terutama berkaitan tuduhan yang menyatakan Lembaga TH tidak memberi respons langsung terhadap teguran Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa persoalan lain yang saya bangkitkan,” katanya.
Manndzri turut memaklumkan bahawa beliau meninggalkan Parlimen lebih awal kerana sesi pembentangan Laporan RCI Tabung Haji berkenaan berbentuk taklimat menteri dan tidak melibatkan proses pengundian seperti yang berlaku dalam isu RCI Batu Puteh.
Beliau pada masa sama memohon ruang untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








