RCI Tabung Haji: Kerajaan janji tangani kezaliman ikut undang-undang – Zulkifli
PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji akan dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.
Beliau berkata, kerajaan menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai sebuah institusi Parlimen yang berwibawa dan sedia memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh.
“Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : Boikot RCI Tabung Haji bermakna boikot amanah jutaan pendeposit – Syed Saddiq
Zulkifli berkata, keanggotaan RCI Tabung Haji dibentuk oleh enam tokoh berwibawa tinggi yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.
Katanya, keanggotaan itu merangkumi pakar dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit bagi memastikan setiap siasatan serta cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil dan berintegriti tanpa sebarang campur tangan.
“Siasatan ini disokong oleh titah perkenan YDPA ke-16 pada 2021, berserta ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2026 yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat ‘hingga ke lubang cacing’,” katanya.
Menurut beliau, desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Kerajaan MADANI berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah SWT dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







