BERITA SEMASA

Papar gaya hidup songsang, kerajaan tolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu atau Racun yang mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan dalam drama berkenaan, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Menurutnya, penerapan unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran perlu dibendung bagi memastikan pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, terus terpelihara.

“Prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama berkenaan serta mengambil tindakan susulan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, semakan turut berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) bagi memastikan kandungan media disiarkan secara sahih serta memelihara kesucian agama.

Dalam pada itu, Zulkifli menyeru penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik dan membina sahsiah masyarakat.

“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam supaya bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan.

Terdahulu, drama Madu atau Racun arahan Eyra Rahman yang disiarkan menerusi platform iQiyi bermula 14 Ogos lalu menimbulkan kontroversi susulan elemen sensitif yang ditayangkan. Ia menampilkan pelakon Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha selaku watak utama drama tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button