SPHM beri jaminan proses sembelihan ayam dipantau, bukan sekadar paparan logo halal
PETALING JAYA – Pensijilan Halal Malaysia bukan sekadar paparan sijil atau logo, sebaliknya membabitkan proses penilaian, pengauditan dan pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan halal dalam aktiviti penyembelihan serta pengendalian ayam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, kelebihan rumah sembelihan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) ialah pematuhannya dinilai menerusi pengauditan dan dipantau sepanjang tempoh pensijilan.
Beliau berkata, perkara itu dapat memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa proses penyembelihan dan pengendalian ayam tertakluk kepada keperluan Pensijilan Halal Malaysia.
Katanya, beliau sendiri mengikuti operasi pemeriksaan bersama pasukan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sebuah rumah sembelihan pemegang SPHM di sekitar Petaling Jaya, hari ini.
“Dalam pemeriksaan itu, saya turut menyaksikan pemeriksaan ayam sebelum penyembelihan serta meneliti kesahan tauliah penyembelih, pelaksanaan pengasingan ayam yang tidak memenuhi keperluan halal dan penyelenggaraan rekod kebolehkesanan bekalan.
“Selain itu, saya berinteraksi dengan beberapa orang pekerja bagi menilai kefahaman mereka tentang prosedur penyembelihan dan tanggungjawab menjaga pematuhan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dapatan pemeriksaan menunjukkan pematuhan halal disokong oleh kawalan teratur yang dilaksanakan secara konsisten sepanjang operasi.
Zulkifli berkata, permohonan SPHM turut membabitkan penilaian dokumentasi dan pemeriksaan lapangan terhadap sumber bekalan, proses penyembelihan, pengendalian, kebersihan serta sistem kawalan halal dalaman.
Katanya, selepas memperoleh pensijilan, pemegang SPHM tetap tertakluk kepada pemantauan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Beliau menjelaskan, ketiadaan SPHM tidak dengan sendirinya membuktikan sesuatu sembelihan tidak halal, namun premis berkenaan belum memperoleh pengesahan pematuhan melalui sistem pensijilan itu.
“Pemilikan lesen operasi pula tidak boleh disamakan dengan pensijilan halal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun Pensijilan Halal Malaysia bersifat sukarela, manfaatnya besar kepada pengusaha rumah sembelihan dan masyarakat kerana membantu memperkukuh kawalan halal sepanjang operasi.
Pada masa sama, pensijilan itu memberikan keyakinan kepada pengguna terhadap sumber bekalan serta proses penyembelihan dan pengendalian produk yang dibeli.
Justeru, beliau menggalakkan pengusaha rumah sembelihan memohon SPHM bagi memperkukuh kawalan operasi, memudahkan kebolehkesanan bekalan dan meningkatkan keyakinan pelanggan.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya membezakan antara dakwaan yang tular dengan hasil siasatan yang disahkan serta tidak membuat kesimpulan terhadap semua rumah sembelihan atau keseluruhan Sistem Pensijilan Halal Malaysia berdasarkan ketidakpatuhan di sesebuah premis.
Pengguna juga disaran mengutamakan bekalan daripada sumber yang dipersijilkan halal dan menyemak status pensijilan menerusi Portal Halal Malaysia.
“Halal ialah amanah bersama. Pengusaha bertanggungjawab memelihara pematuhan, manakala pengguna berhak mendapat maklumat yang tepat dan bekalan yang diyakini.
“Pihak JAKIM amat menggalakkan semua pengusaha rumah sembelihan agar memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),” katanya.
Beliau berkata, aduan orang awam akan diterima dan siasatan lanjut serta tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













