BERITA SEMASA

MARA, Johor teroka kerjasama perkasa industri halal

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kerajaan Negeri Johor kini giat meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik dalam usaha memperkasa pembangunan industri halal negeri itu.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbincangan yang berlangsung susulan kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Fared Mohd Khalid bersama delegasi ke Ibu Pejabat MARA disifatkan sebagai sangat produktif.MARA, Johor teroka kerjasama perkasa industri halal

“Perbincangan menjurus kepada usaha memperkasa industri halal di Johor melalui kerjasama antara MARA, Johor Halal Development Corporation (JHDC) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ),” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Asyraf berkata, MARA memiliki ekosistem menyeluruh yang merangkumi latihan, pembiayaan, fasilitasi keusahawanan serta institusi pendidikan teknikal dan profesional yang boleh digembleng bersama inisiatif kerajaan negeri demi manfaat rakyat.

“Antara potensi kerjasama yang dikenal pasti termasuklah usaha memperkasa sistem dan proses pensijilan halal, pembangunan usahawan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal serta peluasan pasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi konsep Gate-to-Global,” katanya lagi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Majlis Agama Islam Negeri Johor (YMAIJ) turut bersetuju menjalinkan kerjasama strategik dengan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang bagi menubuhkan sebuah pusat dialisis.

“Pusat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah membuka ruang pembelajaran secara praktikal kepada pelajar dalam bidang Bio-Medical di institusi tersebut,” katanya lagi.

Asyraf turut berkata, MARA akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi ummah, selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam industri halal global menerusi sinergi erat bersama Kerajaan Negeri Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button