Pemandu Vellfire rempuh penunggang motosikal ditahan polis
PASIR GUDANG – Polis menahan seorang lelaki berusia 18 tahun selepas dipercayai melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera dalam kejadian yang tular di media sosial di Taman Johor Jaya, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Vikra Mathitthan berkata, suspek yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire itu ditahan pada pukul 9.40 malam semalam bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya apabila penunggang motosikal dipercayai menghalang laluan MPV terbabit.
“Pemandu MPV kemudian membunyikan hon sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara kedua-dua individu.
“Suspek dipercayai bertindak melanggar penunggang motosikal tersebut sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa serta kerosakan kepada kedua-dua kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penunggang motosikal kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru selepas mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan serta pendarahan di kepala dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tambahnya, isteri mangsa yang juga pembonceng motosikal turut mengalami kecederaan ringan selepas diseret dalam kejadian berkenaan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307, 506, 160 dan 182 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.
“Siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam kerana suspek disyaki memandu secara melulu serta membuat laporan polis palsu berhubung kejadian itu,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam merempuh penunggang motosikal, selain kelihatan seorang wanita cuba menghalang tindakan pemandu terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








