AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Thunder LS250-S dilancar, karya ‘kustom’ sedia dari kilang

SEPANG – Selepas kemunculan pertama di acara Art of Speed pada Julai tahun lalu, motosikal gaya kustom Thunder kini secara rasmi memasuki pasaran tempatan menerusi pelancaran model Thunder LS250-S, sebuah bobber 250cc yang siap dikustom dari kilang.

Pelancaran sulungnya diadakan dalam satu acara penuh meriah di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini, bersama dengan pelancaran Lambretta X300 Edisi Terhad oleh syarikat pengedar rasmi kedua-dua jenama iaitu Bike Continent Sdn Bhd.

Thunder LS250-S ini ditawarkan pada harga RM23,788.
thunder
Sebagai sebuah bobber custom sejati, Thunder LS250-S dilengkapi ciri ikonik dengan ketelitian.

Namun penantian lebih setengah tahun peminat-peminat motosikal kustom ternyata berbaloi selepas dapat menatap dekat jentera yang diilhamkan oleh pereka Jepun, Noro Yuji atau Kenji-san.

Sentuhan Kenji-san bersama seorang lagi pakar kustom China, Ka-san melahirkan sebuah jentera dengan rupa luar biasa dan semestinya sah di atas jalan.

Majlis pelancaran LS250-S diserikan dengan penyerahan simbolik 88 unit kepada pemilik baharu, sekali gus menandakan permulaan komuniti peminat motosikal kustom di negara ini.

Dibina hasil gabungan idea dari peminat serta kepakaran pembuatan moden, Thunder LS250-S tampil sebagai bobber tulen yang sedia ditunggang tanpa memerlukan pengubahsuaian tambahan.

Dari penampilan hingga ke perincian, motosikal ini direka untuk menarik perhatian dengan potensi ubah suai yang terbuka luas.

 

rekaan
Penampilan Vintaj – Tangki peanut, tempat duduk solo rendah, sentuhan retro dan rekaan minimalis yang mencuri tumpuan.

 

Antara ciri utama LS250-S termasuk fork springer klasik, ekzos buatan tangan dengan bunyi garau, pilihan rangka kustom hardtail dan softail, sproket belakang bersaiz besar, rim jejari, tayar Shinko bercorak agresif serta elemen vintaj seperti tangki peanut dan tempat duduk solo rendah.

Dikuasakan enjin V-twin 250cc, jentera yang tidak memerlukan syarat lesen B penuh ini pasti menjadi pilihan menarik untuk penunggang baharu yang mahu merasai dunia motosikal kustom.

Thunder LS250-S ditawarkan pada RM23,788, jauh lebih rendah berbanding harga runcit di Jepun sekitar 996,000 yen atau kira-kira RM26,000.

Dengan pakej kustom lengkap terus dari kilang, model ini membuka ruang lebih luas kepada peminat untuk memiliki motosikal bobber bergaya Jepun tanpa kos pengubahsuaian tinggi.

Ekzos binaan tangan yang menghasilkan paluan bunyi yang cukup mantap dan tayar Shinko yang memberi karakter.
Tangki berkapasiti 7 liter yang pastinya memadai untuk tunggangan santai di hujung minggu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button