BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pelajar pandu lawan arus hampir lima minit di EDL

JOHOR BAHRU – Seorang penuntut kolej swasta mencetuskan kekecohan apabila memandu melawan arus hampir lima minit di Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) arah utara, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika pemandu kereta jenis Hyundai Elantra itu dipercayai tersalah masuk laluan selepas melalui kawasan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Rakaman video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta putih dipandu melawan arus di lebuh raya berkenaan, sebelum pemandunya dikenal pasti sebagai seorang pelajar wanita berusia 19 tahun.

“Setibanya di lokasi berkenaan, pemandu berkenaan telah memasuki laluan bertentangan di Lebuhraya EDL arah utara. Dia hanya menyedari kesilapannya selepas mendengar bunyi hon bertalu-talu dan melihat lampu kenderaan lain dinyalakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Raub, selepas menyedari kesilapan, pelajar itu berpatah balik ke arah Johor Bahru. Tiada kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian tersebut.

Beliau menambah, hasil ujian saringan air kencing serta ujian alkohol terhadap pemandu itu didapati negatif. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Raub berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan awam.

Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat memaparkan sebuah kereta berwarna putih bergerak melawan arus di lebuh raya berkenaan.

Turut kelihatan seorang penunggang motosikal yang cuba mengekori kereta berkenaan untuk meminta suspek memberhentikan kenderaannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button