Wanita China ditahan ceroboh kawasan pelepasan KLIA
SEPANG – Seorang wanita warga China ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan keselamatan di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, M Ravi Munusamy berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1.45 tengah hari oleh polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA selepas bertindak agresif ketika cuba diperiksa petugas keselamatan.
Menurut beliau, siasatan mendapati wanita terbabit melepasi pintu ‘autogate’ pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki tiket penerbangan.
“Kejadian berlaku pada jam 1.35 tengah hari apabila suspek didapati memasuki kawasan pelepasan antarabangsa tanpa dokumen penerbangan yang sah.
“Suspek kemudian bertindak agresif ketika pemeriksaan dijalankan oleh petugas keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, insiden itu tular di media sosial selepas wanita terbabit dilihat bergelut dan bertindak agresif ketika ditahan pihak berkuasa di hadapan orang ramai.
Hasil siasatan awal mendapati suspek memasuki Malaysia pada 30 April lalu bagi tujuan percutian bersama rakannya.
Bagaimanapun, wanita itu dipercayai tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asalnya.
Ravi berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini sebelum dibenarkan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kegusaran awam khususnya di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








