AGAMA

Ustazah Asma’ kongsi amalan zikir, doa untuk wanita haid

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun mengingatkan wanita yang sedang haid agar tidak berasa jauh daripada Allah SWT, sebaliknya terus menghidupkan amalan zikir dan doa yang mudah tetapi mempunyai fadilat besar, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan ini.

Menurut beliau, walaupun wanita yang didatangi haid tidak dapat menunaikan solat atau berpuasa, pintu rahmat Allah tetap terbuka luas melalui amalan lain seperti zikir, selawat dan doa.

“Ramai wanita bila datang bulan, rasa sedih dan seolah-olah jauh daripada Allah kerana tidak dapat melakukan ibadah tertentu.

“Hakikatnya Islam itu indah dan sangat memudahkan. Walaupun jasad kita sedang diberikan ‘cuti’ oleh Allah daripada ibadah khusus, pintu rahmat-Nya sentiasa terbuka luas melalui zikir dan doa.

“Jangan biarkan lisan kita kaku sepanjang tempoh haid kerana masih banyak amalan yang boleh dilakukan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Beliau turut berkongsi beberapa amalan bacaan yang boleh diamalkan oleh semua orang termasuk wanita yang sedang haid.

Antaranya ialah membaca Surah Al-Fatihah yang menurut hadis sahih boleh menjadi ruqyah atau penawar kepada penyakit.

Ustazah Asma’ menegaskan Islam itu indah dan sangat memudahkan terutama buat wanita yang didatangi haid. 

Selain itu, beliau menggalakkan umat Islam membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali yang disebut dalam hadis sebagai amalan yang dijanjikan ganjaran besar di syurga.

Amalan lain yang disarankan termasuk membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, memperbanyakkan istighfar serta mengamalkan bacaan tiga Qul iaitu Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebagai perlindungan.

Beliau juga menekankan kepentingan membaca Ayat Kursi, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW serta memperbanyakkan doa memohon keampunan Allah.

Antara doa yang disyorkan termasuk doa yang sering dibaca Nabi SAW iaitu memohon kebaikan di dunia dan akhirat serta perlindungan daripada azab neraka.

“Sahabat semua, jom kita sebarkan kebaikan ini. Tag adik-beradik, kawan-kawan dan anak perempuan kita.

“Moga-moga satu perkongsian kecil ini menjadi asbab kita berkumpul di syurga nanti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button