Ibu muda gigih hasilkan kostum merdeka anak-anak, kreatif guna bahan terpakai
SEMANGAT kreativiti sempena sambutan Hari Kemerdekaan terserlah apabila seorang ibu muda dari Kampung Kandang, Melaka, Yuni Yunita gigih menghasilkan kostum buat anak-anaknya hanya dengan menggunakan bahan terpakai.
Tanpa mengira kesusahan, Yuni gigih menggunting bekas telur, kotak terbuang, plastik putih dan dawai sebelum mewarnakannya sehingga menjadi busana unik untuk dipakai sempena perayaan penuh patriotik itu.

“Idea ini datang daripada saya sendiri, terinspirasi daripada mak mentua. Saya buat sedaya upaya agar dapat menyenangkan hati anak-anak untuk menyambut Hari Kebangsaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Hasil kreativiti tersebut, anak sulungnya, Auliya, 7, tampil sebagai Puteri Malaya manakala seorang lagi, Muhammad Anas, 6, menjadi Superhero Malaya iaitu nama klasik Malaysia yang digarap dengan gaya masa depan penuh mengujakan.
Menurut Yuni, pengalaman mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Muhammad Rauf Madlan serta bimbingan daripada ibu mentua banyak memberi dorongan untuk lebih kreatif dalam melakukan sesuatu.

“Berbagai ilmu yang ada pada mak mentua mula diturunkan sedikit demi sedikit untuk meneruskan kehidupan, salah satunya tentang persekolahan anak-anak supaya maju ke depan,” jelasnya lagi.
Lebih manis ujar Yuni, projek DIY itu turut mendapat sokongan penuh daripada suami tercinta.
“Kalau saya buat kerja DIY, suami yang jaga baby. Kalau dia tak jaga baby, susah juga saya nak siapkan kostum ini,” katanya.
Anak-anak Yuni nyata teruja dan bangga dengan hasil tersebut, malah tidak sabar menantikan pertandingan kostum sempena sambutan Hari Kebangsaan kelak.

“Anak-anak rasa gembira dan tertunggu-tunggu hari pertandingan. Mudah-mudahan diberi kemenangan,” katanya lagi.
Kostum yang dihasilkan Yuni turut mencuri perhatian ahli keluarga, termasuk penulis terkenal Bonda Nor yang kagum dengan imaginasi tinggi adik iparnya itu.
“Mak ngah tak sabar tengok anak buah bergaya, terus suruh pakai walaupun kostum belum siap,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Lebih menghiburkan, anak kecil bernama Anas yang lengkap sebagai wira tampak begitu teruja apabila berjaya ‘menumpaskan beruang’ demi melindungi kakaknya.

“Semangat jihadnya sampai atuk pun hampir tertikam, nasib baik atuk sempat tahan dengan perut,” gurau Bonda Nor lagi.
Aksi spontan itu nyata menceriakan suasana keluarga, sekali gus menonjolkan nilai kekeluargaan dan kreativiti segar dalam meraikan bulan kemerdekaan.
Kreativiti kecil seperti itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, malah menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk memanfaatkan bahan terpakai demi mendidik anak-anak tentang semangat kebersamaan dan cinta akan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








