‘Healing’ di puncak Kinabalu, ibu empat anak tak putus semangat tawan gunung
DALAM kesibukan menguruskan rumah tangga dan membesarkan empat orang anak, ramai menyangka kehidupan seorang suri rumah hanya berlegar di dapur, ruang tamu dan halaman rumah.
Namun bagi Nor Najihah Ibrahim, 42, yang menetap di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, kehidupannya lebih luas daripada itu.
Ia seluas pandangan mata dari puncak gunung yang menjadi ‘tempat healing’ buat dirinya.

Bagi wanita yang mesra disapa Jiha itu, mendaki gunung bukan sekadar aktiviti rekreasi atau trend semasa, tetapi satu terapi jiwa dan cara untuk menjaga kesihatan fizikal serta mental.
Di sebalik tanggungjawab sebagai isteri kepada Muhammad Fadzli Ismail, Jiha sentiasa mencari ruang untuk mengembalikan tenaga dan semangat diri.
Dan jalan itu ditemuinya di denai-denai hutan dan puncak gunung.
Terbaharu, beliau berjaya menawan Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Malaysia dalam pendakian sulungnya ke sana pada awal Oktober lalu.

“Alhamdulillah, syukur sangat sebab dapat sampai ke puncak dengan cuaca yang baik.
“Saya rasa sangat gembira, terharu dan puas hati kerana impian mendaki Gunung Kinabalu ini merupakan ‘wishlist’ sebelum berusia 40 tahun.
“Walaupun ia tertangguh selama dua tahun, namun ia tetap kejayaan bagi diri saya,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Dari hobi joging ke dunia hiking
Menurut Jiha, pada asalnya dia gemar berjoging dan menyertai acara larian di trek, namun mula beralih kepada aktiviti mendaki apabila mendapati suasana panas dan kekangan masa menghalang rutinnya.
“Kalau hiking ni, saya suka sebab dalam hutan redup, tenang dan boleh buat bila-bila masa.
“Selain dapat sihatkan badan, saya dapat kenal kawan baharu, belajar pasal tumbuhan dan yang paling penting, hilang stres,” ujarnya.

Setakat ini, Jiha telah berjaya menawan lima gunung di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Datuk di Rembau dan Gunung Angsi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Gunung Tapis di Kuantan dan Gunung Senyum di Temerloh, Pahang serta Gunung Ledang di Tangkak, Johor.
Restu suami, doa keluarga
Di sebalik kejayaannya menawan puncak-puncak gunung, Jiha beruntung kerana memiliki sokongan padu daripada suami tercinta.
“Suami saya bagi keizinan dan banyak kongsi tip sebab dia pernah naik Gunung Kinabalu tujuh tahun lepas.
“Dia pesan supaya jangan terlalu laju, jaga pernafasan dan pastikan cukup rehat serta kelengkapan,” jelasnya lagi.

Katanya, doa daripada keluarga dan rakan-rakan juga menjadi sumber kekuatan sepanjang pendakian berlangsung.
Persediaan lebih enam bulan
Menurut Jiha, beliau mula membuat persiapan lebih enam bulan sebelum pendakian, sebaik sahaja permohonannya untuk mendaki Gunung Kinabalu diluluskan.
“Latihan perlu dilakukan secara konsisten untuk menguatkan stamina.
“Oleh itu, saya akan mendaki Bukit Pelindung tiga hingga empat kali seminggu, Bukit Panorama sesekali dan jika pulang ke kampung halaman di Rembau, saya akan ke Gunung Datuk,” jelasnya.

Selain latihan fizikal, beliau turut menjaga pemakanan, kesihatan dan melabur sedikit untuk kelengkapan seperti kasut hiking dan pakaian sejuk yang sesuai.
“Pendakian ini bukan main redah saja, kena ada stamina dan kesediaan mental. Tapi saya perasan, sejak aktif mendaki, stres memang sangat berkurang. Balik rumah pun lebih tenang, tak cepat marah-marah,” katanya sambil ketawa kecil.
Impian mendaki Gunung Fuji
Meskipun sudah berjaya menawan puncak tertinggi di negara ini, semangat Naji tidak terhenti di situ.
“Kalau orang tanya nak naik lagi ke, jawapan saya, ya! Mestilah nak naik lagi,” katanya berseloroh.
Beliau kini merancang untuk menyertai aktiviti trail running (larian denai) dan menyimpan cita-cita besar untuk mendaki Gunung Fuji di Jepun suatu hari nanti.

“Trail running ini saya minat sebab laluannya dalam hutan, naik turun bukit mencabar tapi menarik. Kalau ada rezeki, saya nak cuba Fuji pula, Insya-Allah,” ujarnya penuh semangat.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang insiden seorang pendaki, Allahyarham Mustaqqeem Mansor yang meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat di Perak baru-baru ini, beliau turut melahirkan kekesalannya.
“Memang sudah takdir arwah, tapi saya juga agak terkilan apabila sweeper meninggalkan upline. Sepatutnya, Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan sweeper sama-sama bertanggungjawab.
“Sweeper ialah orang terakhir dalam kumpulan, jadi apabila berlaku kecederaan, tindakan segera perlu diambil untuk dapatkan bantuan.
“Tambahan pula, cuaca di puncak memang sangat sejuk, terutama waktu malam dan awal pagi, lebih-lebih lagi jika hujan dan pakaian pula basah.
“Sebab itu penting untuk kita buat persediaan rapi sebelum mendaki, kerana malang tidak berbau,” ujarnya.
Pesannya dalam beg wajib ada air, sedikit makanan ringan, baju hujan pakai buang, headlamp dan juga nombor talian kecemasan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
“Paling utama sebagai umat Islam, banyakkan berdoa semoga setiap pendakian kita sentiasa dalam perlindungan Allah kerana manusia hanya mampu merancang, tetapi semuanya sudah ditentukan Tuhan,” katanya.
Apa yang pasti, biarpun sibuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, kisah Jiha membuktikan bahawa kebahagiaan dan kesihatan boleh dicapai dengan cara tersendiri asalkan ada sokongan, kesungguhan dan niat yang baik.
Ya, suri rumah bukan sekadar ‘ratu dapur’ atau ‘pengurus rumah tangga’ tetapi juga wanita yang mampu menggoncang dunia!

Tip buat pendaki baharu:
- Sentiasa jaga kesihatan dan mendaki mengikut kemampuan.
- Buat persediaan secukupnya sebelum mengikuti aktiviti pendakian.
- Pastikan ahli keluarga tahu lokasi pendakian yang anda sertai.
- Bawa air dan makanan ringan secukupnya.
- Jangan pentingkan diri, sentiasa mendengar arahan dan bekerjasama.
- Jaga solat dan batas pergaulan semasa mendaki berkumpulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








