SEKITAR 10 tahun lalu, saya pernah ditugaskan membuat liputan di sebuah sekolah pemulihan akhlak bagi remaja di sebuah negeri yang terletak di selatan tanah air.
Ketika menjejakkan kaki di sana, saya bertemu dengan A, seorang remaja perempuan yang telah melalui kisah hidup yang penuh liku.
Dia dihantar ke sekolah pemulihan itu kerana terlibat dalam hubungan sejenis. Dengan penuh keinsafan, dia berkongsi pengalamannya agar menjadi peringatan kepada remaja lain di luar sana.
A mengakui bahawa segala-galanya bermula dengan persahabatan. Di asrama, dia sering menjadi mangsa buli pelajar senior.
Namun, seorang rakan yang dikenali sebagai B sentiasa melindunginya. B seorang pengkid, tampil sebagai pelindung yang memahami segala keluh-kesahnya.

Perlahan-lahan, hubungan mereka menjadi lebih daripada sekadar sahabat. A mula menyayangi B bukan hanya sebagai kawan, tetapi sebagai pasangan.
“B sentiasa ada untuk saya. Dia faham saya lebih daripada orang lain,” cerita A.
Keakraban itu akhirnya membawa mereka ke jalan yang salah, terjerumus dalam hubungan terlarang.
A merasakan keasyikan kerana baginya, hubungan itu tidak membawa risiko kehamilan seperti hubungan dengan lelaki. Namun, keseronokan itu tidak bertahan lama.
Tingkah laku mereka akhirnya mencetuskan kecurigaan rakan-rakan lain di asrama. Aduan demi aduan sampai ke pengetahuan warden.
Akhirnya, rahsia mereka terbongkar. B melarikan diri tanpa dapat dikesan, sementara A dihantar ke sekolah pemulihan akhlak.
Pada mulanya, berada di sekolah pemulihan itu bukanlah sesuatu yang mudah bagi A.
Dia masih bergelut dengan ketagihan emosi terhadap hubungan sesama wanita. Namun, takdir menemukan dia dengan seorang pelatih lain, C, yang telah lebih dahulu melalui pengalaman serupa.
C berkongsi kisah tragis hidupnya iaitu hubungan sejenis yang bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi juga keluarganya.
Apabila ayah C mengetahui perbuatannya, lelaki itu sangat terkejut hingga mengalami serangan jantung dan meninggal dunia.
Ibu C pula terlalu kecewa sehingga bertindak menghantarnya ke pusat pemulihan akhlak.
Kehilangan ayah akibat kesilapan sendiri membuatkan C benar-benar insaf. Dia berasa menjadi anak derhaka yang tidak mampu mencium bau syurga selama-lamanya.
“C selalu ingatkan saya, hidup ini hanya sementara. Apa yang kita kejar hari ini mungkin menyeronokkan, tapi hakikatnya ia membawa kita semakin jauh dari rahmat Allah sebagaimana kisah yang terjadi pada kaum Nabi Lut,” cerita A lagi.
Perkongsian C membuatkan A mula berfikir. Dia sedar bahawa hubungan yang pernah dijalinkan bukanlah cinta sejati, sebaliknya hanyalah nafsu yang menyesatkan.
Di sekolah itu, A akhirnya mula berubah. Dia mendekatkan diri kepada agama, mengikuti pelbagai program pemulihan dan menjadi contoh kepada rakan-rakan lain.
A sedar bahawa dosa yang pernah dilakukan bukanlah penghujung kehidupan. Allah sentiasa membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin kembali kepada-Nya.
“Memang saya rasa hina kerana pernah terjebak dalam hubungan yang dilarang agama. Tetapi saya yakin, Allah Maha Pengampun. Saya ingin berubah dan mencari kebahagiaan yang sebenar,” katanya.
A juga mengingatkan, bahawa setiap insan yang pernah tersesat masih berpeluang untuk kembali ke jalan yang benar.
Hari ini, saya tidak pasti di mana A berada. Namun, saya percaya jika dia benar-benar berpegang teguh dengan keinsafannya, A pasti mampu mengecapi kebahagiaan yang hakiki.
Seperti firman Allah SWT dalam hadis Qudsi: “Jika seorang hamba mendekati-Ku sejengkal, nescaya Aku mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekati-Ku satu hasta, nescaya Aku mendekatinya satu depa. Jika dia mendatangi-Ku dengan berjalan kaki, nescaya Aku mendatanginya dengan berlari kecil.”
Semoga kisah A menjadi pedoman buat kita semua, bahawa walau sejauh mana kita tersesat, jalan kembali kepada-Nya sentiasa terbuka selagi jasad masih bernyawa, selagi roh masih tidak melepasi kerongkong kita.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








